KUALA LUMPUR: Membesar dengan lagu-lagu kumpulan nasyid, pelakon, Shaza Bae, tidak sabar menghadiri konsert Inteam yang bakal berlangsung pada September.
Cerita Shaza atau Shaza Nuriman Mohamad Zamri, 30, genre nasyid sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan anak muda yang lahir sekitar tahun 90-an membuatkannya sebati dengan lagu seperti ‘Kasih Kekasih’ daripada kumpulan Inteam.
“Saya hafal semua lagu Inteam dan tak sabar nak pergi konsert mereka. Saya suka, memang membesar dengan kumpulan nasyid seperti Raihan, Rabbani dan Inteam.
“Dekat TikTok cara promosi mereka pun comel. Saya sangat hargai usaha itu, paling saya suka lagu Kasih Kekasih daripada kumpulan Inteam,” katanya.
Shaza ditemui Utusan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia, WTC Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, juara Dewi Remaja 2019 turut terkejut membaca komen generasi muda yang tidak pernah mendengar genre nasyid seumur hidup walaupun nasyid telah melalui zaman kemuncaknya pada awal 2000.
“Saya ada terbaca juga sesetengah komen generasi muda hari ini yang tak tahu kumpulan nasyid. Bahkan ada yang tak tahu nasyid itu satu genre muzik,” katanya.
Terdahulu, kumpulan Inteam yang dianggotai Mohd Syahril Abdul Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad mengumumkan konsert Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam telah laris terjual dalam masa dua jam.
Sambutan hangat tersebut membuatkan mereka mengubah tarikh dan lokasi konsert di Idea Live Arena Petaling Jaya yang boleh memuatkan 5,000 pengunjung.
Jualan tiket bagi lokasi baharu di Petaling Jaya membabitkan 2,500 tiket akan dibuka kepada peminat mulai 14 Jun ini melalui platform Ticket Empire. -UTUSAN










