Konflik antarabangsa: TUDM nilai semula CAP55

Konflik antarabangsa: TUDM nilai semula CAP55

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melakukan penilaian semula terhadap Pelan Strategik Pembangunan TUDM 2055 (CAP55) bagi menyesuaikan ia dengan konflik antarabangsa ketika ini.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, TUDM perlu mempelajari tindakan yang perlu diambil kesan konflik yang sedang berlaku tersebut.

“Kalau kita lihat dalam geostrategik antarabangsa, banyak perkara berlaku daripada (konflik) Russia, Ukraine, India, Pakistan, Iran dan Israel.

“Apa yang TUDM lihat adalah apa yang boleh kita belajar daripada konflik-konflik tersebut. Kami akan melihat semula sama ada CAP55 ini sehaluan atau tidak dengan apa yang berlaku di persekitaran.

“Sekiranya kita memerlukan penambahbaikan, maka kita akan laksanakan kerana kita perlu menjadi relevan dengan keadaan semasa. Ini antara perkara kita akan bincangkan dalam Perintah Ulung nanti, insya-Allah,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Tambah Muhamad Norazlan, pembangunan keupayaan, pemodenan aset dan pembangunan modal insan akan menjadi fokus utama TUDM ketika ini.

“Kita tengok sekarang, kita ada program aset-aset baharu, ia bukan kata sekadar penggantian aset lama tetapi bertujuan meningkatkan keupayaan daripada aset lama.

“Jadi benda-benda ini memerlukan banyak fokus. Bukan hanya memperoleh tetapi latihan dan pengoperasiannya perlu diberikan fokus  utama.

“Dalam mendapatkan keupayaan ini pengurusan sumber manusia yang betul dan terlatih perlu diberikan penekanan yang khusus agar aset-aset baharu yang kita peroleh ini dapat digunakan serta dioptimumkan ke tahap yang paling maksimum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN