Kod etika kukuhkan ekosistem guna AI diwujudkan

Kod etika kukuhkan ekosistem guna AI diwujudkan

WILSON Ugak Kumbong (dua dari kanan) diberi penerangan pada Majlis Perasmian Festival Kecerdasan Buatan dan Robotik 2025 (AIRFEST2025) di UTM Skudai, Johor Bahru, Johor hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan mewujudkan Kod Etika Kecerdasan Buatan (AI) merangkumi beberapa sektor utama bagi memperkukuhkan ekosistem penggunaan teknologi tersebut di negara ini.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, antara sektor terlibat adalah penjagaan kesihatan, pengangkutan, pertanian, perkhidmatan awam, pendidikan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan 2026-2030 bertujuan merangka dasar, strategi dan pelan pelaksanaan untuk memposisikan Malaysia sebagai hab utama inovasi dan penerapan AI di Asia Tenggara menjelang tahun 2030.

“Penubuhan Pusat Kecemerlangan AI pula bertujuan mempercepatkan penggunaan teknologi itu dalam pelbagai sektor termasuk Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Festival Kecerdasan Buatan dan Robotik 2025 (AIRFEST2025) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Wilson berkata, semua inisiatif tersebut bertujuan memaksimumkan impak AI terhadap pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di dalam dan luar bandar.

Dalam pada itu, beliau turut meminta rakyat tidak bimbang dengan data peribadi melibatkan syarikat telekomunikasi kerana perkara itu dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709).

“Parlimen sudah luluskan Akta 709 untuk memastikan data pengguna (terjamin). Selain itu memang ada pemantauan 24 jam, khususnya oleh pihak CyberSecurity Malaysia (CSM) untuk menjaga pencerobohan data.

“Kita perlu ada kepercayaan terhadap keselamatan (data peribadi) kerana jika tidak, negara lain akan takut untuk datang melabur di sini. Jadi, dengan adanya undang-undang, kita perlu yakin,” katanya.

Akta 709 mula dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu selepas pindaannya diwartakan oleh Jabatan Peguam Negara pada 17 Oktober 2024.

Baru-baru ini, agensi media South China Morning Post melaporkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit yang dibuat dari Januari hingga Mac. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN