JOHOR BAHRU: Kerajaan mahu ekosistem baharu kesiihatan diwujudkan sebagai usaha menangani isu peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan perubatan yang semakin meningkat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara tersebut sedang dibincangkan menerusi Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS).
“Jawatankuasa ini bukan sahaja disertai Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan tetapi juga agensi lain termasuk penyedia sektor kesihatan swasta serta syarikat insuran dan takaful.
“Mesyuarat telah dijalankan dan beberapa kumpulan kerja telah ditubuhkan untuk menangi isu-isu berbangkit berkenaan perkara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pasir Gudang di sini hari ini.
Kata Dr. Dzulkefly, antara langkah awal yang telah dilaksanakan termasuklah inisiatif paparan harga ubat agar pengguna mempunyai pilihan sebelum mendapat sesuatu rawatan.
Sementara itu, katanya, KKM telah menerima permohonan daripada kerajaan negeri berhubung sebidang tanah milik kementerian itu yang mahu dibangunkan menjadi Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Kempas, di sini.
“Ya, kami ada terima permohonan tersebut dan perkara itu akan dipertimbangkan,” ujarnya ringkas.
Pada 13 Jun lalu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan kerajaan negeri akan memohon agar mana-mana tanah yang tidak dibangunkan kerajaan Persekutuan supaya dipulangkan bagi kegunaan pembinaan kediaman mampu milik.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti sebidang tanah milik KKM di Kempas. – UTUSAN