PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan kaedah norma dan outfit bagi menentukan keperluan pewujudan sesuatu jawatan di fasiliti kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kaedah ini mengambil kira parameter seperti jumlah kedatangan pesakit, bilangan katil, jenis kepakaran, prevalens, bilangan kerusi atau workstation pergigian serta populasi penduduk.
Beliau berkata, berkaitan isu ketidakseimbangan sumber manusia antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, KKM menyedari peratusan kekosongan perjawatan di Sabah dan Sarawak lebih tinggi berbanding negeri-negeri di Semenanjung terutama bagi pegawai perubatan.
“KKM memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk mewajibkan pegawai perubatan kontrak yang dilantik tetap memilih sekurang-kurangnya satu penempatan di Sabah atau Sarawak melalui sistem e-penempatan bagi menangani isu ini.
“Selain itu, kuota penempatan pegawai perubatan lantikan tetap ditetapkan sebanyak 650 di Sarawak dan 310 di Sabah melalui sistem e-penempatan.
“Jumlah kuota ini merangkumi 42.7 peratus daripada keseluruhan 2,248 kuota yang ditetapkan, bagi menampung keperluan tambahan fasiliti kesihatan KKM di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Menurut Dzulkefly, sehingga 30 Jun 2025, seramai 1,033 pegawai perubatan kontrak telah ditempatkan di Sabah manakala 1,040 pegawai ditempatkan di Sarawak.
“Langkah ini juga menyokong inisiatif kerajaan negeri Sabah dan Sarawak yang menawarkan biasiswa negeri kepada anak tempatan bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan kesihatan di institusi pengajian tinggi.
“KKM dari semasa ke semasa meneruskan inisiatif memperkukuhkan pengurusan sumber manusia di semua fasiliti kesihatan termasuk di Sabah dan Sarawak bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










