PETALING JAYA: Kepulan asap yang dilihat di kawasan sekitar Puchong dekat sini disebabkan kebakaran kilang kertas di Jalan Lembah Kinrara, Kampung Lembah Kinrara.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu menyebabkan kilang tersebut musnah 80 peratus.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.14 tengah hari.
Kata beliau, susulan itu sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong bersama jentera digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.
“Komander operasi memaklumkan kebakaran membabitkan sebuah kilang kertas berkeluasan 100×120 kaki persepsi musnah terbakar sebanyak 80 peratus.
“Setakat ini, kejadian tidak membabitkan mangsa ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, operasi masih dijalankan dan turut membabitkan bantuan BBP Subang Jaya, BBP Seri Kembangan dan BBP Jalan Penchala. – UTUSAN