Ketua Pemuda DAP beri keterangan polis isu karikatur Razman berpakaian badut - Utusan Malaysia

Ketua Pemuda DAP beri keterangan polis isu karikatur Razman berpakaian badut

WOO Kah Leong (tengah) dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong disoal siasat polis hari ini berhubung hantaran dalam media sosial miliknya mengenai  karikatur Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria berpakaian badut pada 10 April lalu.

Peguamnya yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan berkata, dua orang pegawai penyiasat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik telah mengambil keterangan Kah Leong selama kira-kira 30 minit di pejabat Kah Leong.

“Kami telah dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat dan perkara ini disiasat oleh IPD Gerik. Rakaman percakapan pun telah diambil.

“Soalan-soalan telah diajukan dan telah dijawab oleh  Kah Leong. Kita telah memberi kerjasama penuh untuk siasatan ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Namun, beliau tidak mengetahui individu yang membuat laporan polis selain tarikhnya.

Yang turut hadir, Kah Leong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak.

Syahredzan berkata, polis turut merampas telefon pintar jenis iPhone dan kad sim Kah Leong bagi membantu siasatan selain memberikan kerjasama penuh.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintenden Muhammad Firdaus Abdullah mengesahkan telah mengambil rekod Kah Leong.

Katanya ringkas, ia adalah satu proses biasa dalam siasatan.

Dalam pada itu, Kah Leong mendakwa, politik sindiran merupakan cara mengkritik yang paling harmoni sekaligus dalam sesebuah negara demokrasi.

“Saya mempertahankan hak semua pihak untuk mengkritik saya. Saya ahli politik kena benarkan semua untuk menghentam untuk mengkritik.

“Tapi pada masa yang sama, saya juga berhak untuk lawan balik dengan hujah. Saya tidak akan tunduk dan tidak akan mendiamkan diri.

“Saya bertekad untuk mempertahankan kebebasan bersuara, kebebasan mencipta dan kebebasan berekspresi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN