Pertandingan Pidato Mengenang Sejarah dan Jasa V.T. Sambanthan

Pertandingan Pidato Mengenang Sejarah dan Jasa V.T. Sambanthan

K. Saraswathy bercakap ketika sidang akhbar mengenai pertandingan Pidato Mengenang Sejarah dan Jasa Tun V.T. Sambanthan di Kementerian Perpaduan Negara, Putrajaya.-UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMARIAH KHALIDI (juani)

Memuatkan artikel berkaitan…

pix Faiz Alif

[email protected]

PUTRAJAYA: National Land Financial Co-operative Society Limited (NLFCS) dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM) akan menganjurkan pertandingan Pidato Mengenang Sejarah dan Jasa Tun V.T. Sambanthan, November ini.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy berkata, penganjuran pidato itu bertujuan memberi pendedahan, kesedaran serta galakan di kalangan generasi muda tentang keperluan tadbir urus yang baik, kepimpinan yang boleh dicontohi serta semangat kenegaraan daripada pengalaman Sambanthan.

“Kita menyeru kepada belia terutamanya mahasiswa dan mahasiswi untuk menyertai pertandingan pidato ini bagi memastikan jasa Tun Sambanthan dapat dikongsi dan dihayati oleh generasi muda, selain sebagai inisiatif untuk memperingati legasi beliau.

“Sebagai Menteri Perpaduan yang pertama, beliau telah merangka beberapa dasar perpaduan yang masih kekal relevan sehingga kini. Jadi, para peserta boleh mengambil ilham atau idea daripada falsafah serta cara pemikiran Tun Sambanthan, seterusnya terjemahkannya dalam pertandingan pidato itu nanti,” katanya menerusi sidang akhbar di Kementerian Perpaduan hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pengurusan) ANM, Zaidin Mohd Noor dan Eksekutif NLFCS, Panneerselvam Karupiah.

Pertandingan pidato dalam bahasa Tamil itu menyasarkan penyertaan pelajar daripada institusi pendidikan tinggi (IPT) serta golongan belia yang akan diadakan di empat zon di seluruh negara.

Pusingan awal pertandingan itu dijadualkan berlangsung pada minggu pertama dan kedua bulan November, manakala pusingan akhir akan diadakan pada 30 November di ibu negara.

Bagi pihak ANM, Zaidin berkata, mereka amat mengalu-alukan program yang melibatkan tokoh-tokoh yang mempunyai kaitan dengan perpaduan negara.

“Di Arkib Negara, kita ada memorial negarawan Tun V.T. Sambanthan. Dalam memorial tersebut, kita ada lebih 700 bahan-bahan berkaitan beliau, jadi pelajar-pelajar yang ingin mengambil bahagian dalam pertandingan ini boleh merujuk bahan tersebut untuk memperkukuhkan lagi hujah-hujah pidato mereka.

“Kita juga komited untuk memberi pengetahuan yang tepat berkenaan sejarah negara terutamanya mengenai tokoh Tun V.T. Sambanthan,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Panneerselvam, pemenang tempat pertama bagi pertandingan pidato itu bakal membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM3,000, manakala pemenang di tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM2,000 dan RM1,000 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Sambanthan merupakan antara tokoh perintis dalam perjuangan kemerdekaan dan perpaduan Malaysia. Beliau adalah Presiden MIC kelima dan menjadi sebahagian daripada delegasi yang merundingkan kemerdekaan bersama Tunku Abdul Rahman dan Tun Tan Cheng Lock.

Sebagai Menteri Perpaduan pertama Malaysia, beliau dikenang atas usaha memupuk dialog antara kaum, memperjuangkan pendidikan masyarakat India, serta menubuhkan Koperasi NLFCS bagi membantu pekerja ladang memiliki tanah dan meningkatkan taraf hidup. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN