Kesuma lulus 124 permohonan kesatuan kerja di utara

Kesuma lulus 124 permohonan kesatuan kerja di utara

STEVEN Sim Chee Keong (tengah) pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 Zon Utara di Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) telah meluluskan sebanyak 124 permohonan daripada kesatuan sekerja di zon utara melibatkan Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis di bawah Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) dengan peruntukan melebihi RM1.5 juta tahun ini.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, berdasarkan semakan yang dibuat, jumlah kesatuan sekerja yang memohon pada tahun ini telah meningkat sebanyak lima kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, beliau optimis bahawa sasaran untuk mendaftarkan sehingga dua juta ahli kesatuan sekerja di seluruh negara mampu dicapai dalam masa terdekat.

“Saya menyertai Kesuma pada penghujung 2023 ketika peruntukan PHEKS hanya sekitar RM2.6 juta. Sedangkan, ketika itu sudah ada lebih 700 kesatuan sekerja. Namun, jelas ia tidak mencukupi.

“Peruntukan itu kemudiannya dinaikkan kepada RM5.8 juta tahun lalu dan bagi tahun ini pula, sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan. Saya gembira kerana lebih RM1.5 juta daripada jumlah itu telah diagihkan kepada kesatuan sekerja di zon utara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan PHEKS 2025 Peringkat Zon Utara yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Steven turut menggalakkan lebih banyak kesatuan sekerja ditubuhkan sebagai wadah memperjuangkan hak pekerja selain memastikan suara mereka didengari pihak majikan.

“Kesatuan penting kerana ia membolehkan pekerja bersatu dan menyampaikan isu serta masalah mereka secara kolektif, terutamanya melibatkan soal kebajikan.

“Bagi saya, penubuhan kesatuan bukan untuk menentang majikan, tetapi, untuk memperkuatkan suara rundingan. Kalau pergi jumpa bos seorang diri, belum tentu dia akan layan. Tapi bila ada kesatuan, suara itu lebih kuat dan susah untuk diabaikan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN