SEREMBAN: Tahap kesedaran rakyat terhadap kepentingan saringan kesihatan berkala masih belum memuaskan disebabkan kelemahan dalam literasi kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, masih ramai yang tidak menjalani pemeriksaan kesihatan awal, termasuk dalam kalangan individu berumur 30 hingga 40 tahun, meskipun golongan tersebut berisiko menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Tidak begitu rendah tetapi saya masih mahu tahap kesedaran akan kepentingan saringan ditingkatkan lagi. Kita tidak boleh menunggu rakyat jatuh sakit baru bertindak. Ramai tidak tahu mereka berisiko kerana tidak pernah disaring,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Karnival Minda Sihat Komuniti Sejahtera Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Masjid Kariah Taman Bandar Senawang, di sini hari ini.
Tambah beliau, tanggapan bahawa hanya individu yang sakit perlu ke klinik merupakan persepsi salah yang kerana boleh membawa kesan serius kerana penyakit selalunya dikesan lewat.
Katanya, walaupun program saringan kesihatan seperti National Health Screening Initiative (NHSI) giat dijalankan namun menegaskan saringan tanpa susulan adalah tidak mencukupi.
“Mereka yang dikesan sebagai pradiabetik, contohnya, perlu dibimbing untuk ubah gaya hidup. Bukan hanya diberitahu keputusan ujian dan dibiarkan begitu sahaja,” katanya.
Menurutnya lagi, masih ramai tidak memahami konsep kesihatan menyeluruh yang merangkumi aspek kesihatan mental, pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan pemantauan kesihatan secara berkala.
“Kementerian Kesihatan kini sedang mempergiat usaha memperkasa literasi kesihatan melalui pelbagai inisiatif melibatkan komuniti, sekolah serta penyertaan aktif petugas kesihatan,” katanya.
Sementara itu, ditanya keperluan mewajibkan dos tambahan Covid-19 berikutan peningkatan kes itu di negara jiran, Dr. Dzulkefly berkata, tiada keperluan untuk mewajibkannya ketika ini dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan langkah pencegahan.-UTUSAN
//habis