PETALING JAYA: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan Istana Kehakiman, Putrajaya kembali menjadi tumpuan media dan umum ekoran pelbagai kes berprofil tinggi dan menarik disebut di dua lokasi terbabit pada minggu depan.
Hari pertama minggu depan atau Isnin dimulakan dengan permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memindahkan tujuh kes menyalahgunakan kedudukan dan menerima wang hasil aktiviti haram daripada Mahkamah Sesyen ke mahkamah berkenaan.
Secara umumnya, mana-mana kes yang dibicarakan di Mahkamah Sesyen, berpeluang untuk mengemukakan rayuan sehingga ke Mahkamah Persekutuan.
Selain itu, Mahkamah Sesyen akan menyebut semula kes bekas Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas., Mohd. Khairul Akmal Mohd. Jasni yang didakwa cuba mendedahkan dokumen sulit syarikat itu kepada Syarikat Petroleum Sarawak (Petros).
Pada 19 April lalu, Mohd. Khairul mengaku tidak bersalah atas dakwaan cuba mendedahkan maklumat dokumen Q1 2024 Upstream Business Performance Operational and Financial kepada Petros.
Seterusnya pada Selasa, tumpuan beralih ke Mahkamah Sesyen, Putrajaya untuk pendakwaan seorang artis atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dan selebriti itu dijangka dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang menyaksikan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Dalam pada itu, pada Rabu, panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan akan menetapkan jumlah ganti rugi yang akan diterima oleh syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) dan empat yang lain selepas berjaya dalam rayuan mereka berhubung ganti rugi nominal.
Pada hari sama, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan akhir bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa merogol pembantu rumahnya, enam tahun lalu.
Prosiding rayuan itu sebelum ini tertangguh selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Choo Kiong memasukkan bukti baharu namun pada 7 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak bukti tersebut atas alasan penyataan bersumpah bekas pembantu rumah lelaki itu tidak menimbulkan keraguan munasabah dan bersifat ‘dengar cakap’.
Selain itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka akan membuat keputusan dalam kes seorang penganggur, Afendi Muhammad Agus yang sebelum ini mengaku bersalah atas tuduhan membunuh ibu bapa kandungnya pada 9 Disember 2024 setelah ia ditangguhkan selepas beberapa bahan bukti termasuk pisau yang digunakan dalam kejadian itu tidak dibawa ke mahkamah.
Pada Khamis pula, tumpuan beralih kepada Mahkamah Persekutuan yang akan membuat keputusan penting terhadap rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa dikeluarkan oleh pihak berkuasa Islam Selangor pada 2014 yang melabel pertubuhan itu sebagai sesat.
Pada 2014, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengeluarkan fatwa terhadap SIS Forum dengan menyatakan kumpulan itu mengamalkan ideologi liberalisme dan pluralisme, bertentangan dengan ajaran Islam. Fatwa itu diwartakan pada 31 Julai tahun sama.
Sementara itu, pada Jumaat tumpuan kembali semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila Hakim K. Muniandy bakal membuat keputusan terhadap permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM27 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Najib pada ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah atas tuduhan menyeleweng Rm42 juta milik syarikat sama. – UTUSAN