KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menggubal semula peraturan pendidikan berkaitan disiplin murid di bawah Akta Pendidikan 1996 bagi mengekang isu buli di sekolah.
Ia juga bagi memberikan panduan lebih jelas kepada guru dalam menguruskan kes salah laku disiplin murid di sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerajaan memandang serius salah laku buli dan melaksanakan pelbagai program serta intervensi bagi memastikan isu ini tidak terus menular, malah awal tahun 2023, ketika Kerajaan Madani mengambil alih kerajaan ini, perkara pertama dilakukan ialah memastikan garis panduan buli benarbenar dilaksanakan dan memastikan ia terlaksana dengan baik.
Beliau berkata, kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap pentadbir, guru, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), yang didapati melindungi keskes buli.
Buli dalam kalangan pelajar dilihat semakin membimbang kan dengan kematian seorang pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah, Zara Qairina Mahathir yang ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asramanya pada 16 Julai lalu.
“Kita ingin tegaskan bagaimana kita melihat bahawa isu buli ini harus ditangani dengan lebih komprehensif dan efektif.
“Awal tahun 2023, ketika Kerajaan Madani mengambil alih kerajaan ini, perkara pertama yang kita lakukan ialah memastikan garis panduan buli ini benar-benar dilaksanakan dan memastikan ia terlaksana dengan baik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini, semalam.
Fadhlina menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad yang ingin mengetahui usaha kementerian menangani gejala buli yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar sekolah, mutakhir ini.
Fadhlina berkata kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap pentadbir, guru, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), yang didapati melindungi kes-kes buli.
“Kita melaksanakan pelbagai program intervensi, ‘Bangkit Bermaruah’ dan program berkait rapat dengan memperkukuh psikososial anak-anak melalui program bersama dengan peranan guru bimbingan dan kaunseling.
“KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku buli yang berlaku di institusi pendidikan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dilaporkan berkata, cadangan untuk menggubal undang-undang Akta Anti Buli yang menggunakan sistem tribunal bagi mendengar kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dan akan dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sebelum ini Azalina berkata, kerajaan meneliti keperluan menggubal Akta Anti Buli yang memberi penekanan kepada penubuhan sebuah tribunal, bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak berikutan pada masa ini, tiada definisi khusus atau hukuman yang jelas berkaitan kesalahan buli di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.
Baru-baru ini kematian Zara Qairina dikaitkan dengan kes buli dihadapinya di asrama tersebut sebelum membangkitkan gelombong sokongan rakyat Malaysia sehingga tercetusnya #PrayForZara yang mahu insiden tersebut disiasat secara terperinci.
Lima remaja perempuan dari sekolah sama dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana menggunakan kata-kata mengaib atau berbaur ugutan terhadap mangsa.
Bagaimanapun sehingga kini kematian Zara Qairina masih belum diketahui sehingga prosiding inkues dijalankan bermula September depan.
Pada 19 Julai lalu di Sungai Petani, Kedah, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki diikat menggunakan tali leher serta mulut ditutup dengan sapu tangan.
Remaja itu ditemui di dalam tandas sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa buli dua rakan sekolahnya akibat cemburu.
Pada 19 Ogos lalu, buli melibatkan dua pelajar Tingkatan Empat ‘memberi hukuman’ kepada 20 pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama kerana lewat pulang ke asrama.
Pada 20 Ogos lalu, perintah tahanan reman enam hari terhadap enam pelajar lelaki Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah bagi membantu siasatan kes buli terhadap seorang pelajar sekolah.
Selain memukul, seorang daripada suspek turut bertindak melondehkan seluar sukan yang dipakai mangsa sehingga ke paras lutut. – UTUSAN










