Lima lokasi menarik semai semangat kemerdekaan anak-anak

Lima lokasi menarik semai semangat kemerdekaan anak-anak

tugu negara menjadi bukti pengorbanan wira negara demi sebuah keamanan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali tibanya bulan Ogos, suasana seluruh negara semakin meriah dengan kibaran Jalur Gemilang, menanti sambutan penuh patriotisme.

Inilah masa yang terbaik untuk ibu bapa merancang aktiviti bersama anak-anak untuk menyemai semangat patriotik.

Daripada hanya menghabiskan masa di rumah atau pusat hiburan, apa kata gunakan peluang tersebut untuk membawa mereka mengenali sejarah tanah air dengan lebih dekat.

Berikut adalah lima lokasi menarik untuk dilawati bagi menghidupkan semangat kemerdekaan dalam diri generasi muda.

Muzium Negara,Kuala Lumpur
Bukan setakat mempelajari zaman prasejarah, namun di , pengunjung dapat menelusuri perjalanan negara daripada pameran mengisahkan era penjajahan, sehingga ke detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Malah, pengunjung dapat mempelajari lebih lanjut mengenai kisah perjuangan tokoh kemerdekaan negara.
Menariknya, pengunjung juga berkesempatan melihat dokumen-dokumen penting yang boleh memberi kefahaman mendalam tentang erti kebebasan tanah air.

Tugu Negara,Kuala Lumpur
Tugu Negara merupakan sebuah monumen peringatan yang dibina khas untuk menghargai dan mengenang jasa perajurit tanah air yang gugur demi mempertahankan negara.
Terletak berhampiran Tasik Perdana, tugu gangsa setinggi 15 meter itu menggambarkan tujuh anggota tentera dalam pelbagai posisi simbolik yang melambangkan kepimpinan, pengorbanan, keberanian, penderitaan, perpaduan, kewaspadaan dan kekuatan.
Sesiapa sahaja yang berkunjung ke situ, pasti dapat memahami kemerdekaan yang dikekalkan sehingga kini bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah, tetapi daripada perjuangan dan air mata para pejuang.

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
Bayangkan berdiri di tengah-tengah padang luas Dataran Merdeka, sambil melihat tiang bendera setinggi 95 meter yang megah mengibarkan Jalur Gemilang. Di sinilah detik bersejarah berlaku pada 31 Ogos 1957, apabila bendera Union Jack diturunkan dan digantikan dengan bendera Malaysia buat pertama kali.
Melawat lokasi ini bersama anak-anak akan membuat mereka seolah-olah kembali ke malam penuh bersejarah itu.
Bersebelahan padang tersebut, pengunjung boleh melihat bangunan ikonik seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dengan seni bina Mughal yang tersergam indah.
Anak-anak juga boleh bebas bermain di kawasan yang lapang itu.

Mercu tanda ikonik Malaysia
Selain itu, melawat ke pencakar langit ikonik negara seperti Menara Berkembar Petronas, The Echange 106 (TRX) dan Merdeka 118 dapat menyemarakkan lagi rasa cinta terhadap tanah air.
Menara-menara berkenaan bukan sekadar merupakan bangunan tinggi, tetapi simbol kebanggaan rakyat Malaysia yang berdiri megah di mata dunia.
Melawat menara-menara tersebut, dapat memberi peluang kepada anak-anak melihat sendiri hasil pencapaian negara selepas merdeka.

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Kuala Lumpur
Memorial tersebut didedikasikan khas untuk mengenang jasa Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Terletak di Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur, memorial tersebut menempatkan pelbagai koleksi bersejarah seperti dokumen rasmi, surat peribadi dan rakaman video ucapan Tunku yang menceritakan perjuangan menuju kemerdekaan.
Keunikan melawat memorial ini pada bulan kemerdekaan ialah suasananya lebih hidup dengan dekorasi Jalur Gemilang dan program khas sempena Hari Kebangsaan.
Anak-anak dapat melihat dengan lebih dekat cara seorang pemimpin berjuang dengan penuh hikmah dan diplomasi untuk menuntut kebebasan tanpa pertum­pahan darah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×