KOTA BHARU: Kerja-kerja penyelenggaraan berkala turapan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) melibatkan laluan FT04 di kawasan Jeli, dijangka siap September ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaacoub berkata, arahan kerja kepada kepada konsesi yang terlibat dikeluarkan pada 18 Mei lalu.
“Sehingga Mei lalu, kerajaan persekutuan telah meluluskan dua projek penyelenggaraan berkala pavemen di laluan FT04 kawasan Jeli melibatkan peruntukan sebanyak RM 2.5 juta.
“Kerja-kerja ini dijangka siap pada September ini,” katanya semalam.
Pada 24 Ogos 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menambah baik laluan Lebuhraya Timur Barat di Gerik-Jeli, Perak.
Peruntukan itu menjadikan jumlah peruntukan yang disalurkan kerajaan bernilai RM75.676 juta bagi projek menaik taraf jalan yang menghubungkan antara Perak dan Kelantan.
Nik Soh berkata, hasil semakan pihaknya dengan Cawangan Senggara fasiliti Jalan JKR Malaysia mendapati, peruntukan khas RM30 juta yang di salurkan oleh Anwar itu untuk laluan di kawasan Gerik sahaja. – UTUSAN