GEORGE TOWN: Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang dinanti-nantikan di Pulau Pinang bakal memasuki fasa baharu apabila kerja-kerja fizikal dijangka bermula dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ketika ini, semua isu ‘tertunggak’ melibatkan projek berkenaan termasuk yang membabitkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pulau Pinang telah berjaya diselesaikan dengan baik.
“Sekarang, kita sudah menyelesaikan semua isu berkaitan projek LRT Pulau Pinang. Ini termasuklah perbincangan antara pihak Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri.
“Saya sendiri telah mempengerusikan satu mesyuarat bersama Ketua Menteri Pulau Pinang di Kementerian Pengangkutan pada bulan lalu mengenai perkara ini,” katanya selepas melihat perkhidmatan Rapid Penang On-Demand di sini, hari ini.
Menurut Anthony Loke, antara perkara yang telah diselesaikan ketika ini termasuk berkaitan surat pelepasan kebenaran daripada kerajaan negeri serta hal-hal teknikal lain yang sebelum ini menyebabkan pelaksanaan projek berkenaan tertangguh.
Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat pelaksana utama projek juga telah pun menganugerahkan kerja-kerja awal kepada subkontraktor yang terlibat sebagai persediaan untuk memulakan kerja lapangan.
“Sudah ada tanda-tanda awal dan laporan media juga menunjukkan bahawa pihak kontraktor utama telah memberikan surat anugerah kepada subkontraktor mereka. Jadi, kita akan mula lihat kerja-kerja fizikal bermula satu dua bulan lagi,” katanya yang menjelaskan, fasa awal pembinaan akan melibatkan kerja-kerja penanaman cerucuk serta persediaan tapak pembinaan.
Dalam pada itu, Anthony berkata, adalah penting untuk pihak berkaitan menyediakan pelan lencongan trafik yang teliti bagi mengurangkan kesan kepada pengguna jalan raya di sekitar kawasan pembinaan.
“Kami minta mereka pastikan, apabila kerja-kerja penanaman cerucuk dan kerja-kerja fizikal bermula, mesti ada perancangan rapi berkenaan pengalihan trafik bagi memastikan projek ini tidak memberi kesan buruk kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui, seperti projek pembinaan berskala besar yang lain, pastinya akan ada sedikit gangguan terhadap aliran trafik selepas ini.
“Dalam apa-apa projek pembinaan sekalipun, sudah tentu akan ada sedikit kesan kepada pengguna jalan raya. Jadi, apa yang kita perlu lakukan ialah untuk meminimumkan impak tersebut,” katanya.
Projek LRT Laluan Mutiara yang melibatkan jarak laluan sepanjang 29.5 kilometer (km) itu merangkumi 21 stesen strategik dan direka untuk meningkatkan keterhubungan antara Pulau Pinang dan tanah besar, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya selain mempertingkatkan aksesibiliti. – UTUSAN










