MELAKA: Kerajaan menanggung perbelanjaan berjumlah RM486,000 untuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadiri Persidangan Nikkei di Jepun, Mei lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Dr. Mahathir mengemukakan permohonan bagi pembiayaan perbelanjaan itu sepanjang sebulan berada di negara tersebut.
“Baru ini dia (Mahathir) mohon daripada saya nak pergi Persidangan Nikkei di Jepun. Jadi saya luluskan walaupun saya ingat daripada sembilan orang hanya tujuh yang saya luluskan.
“Dia belanja sekitar RM486,000 sebulan jadi orang tanya pasal apa, bayar tak? Sebenarnya dia ada hak memohon tapi ia terserah kepada Perdana Menteri untuk luluskan. Saya masih meluluskan.
“Saya tak mahu ada salah faham, dia kata bukan kita, bukan hak ada peraturan membolehkan dengan syarat Perdana Menteri luluskan dan saya tidak mahu ambil sikap negatif walaupun dia hari-hari serang kita, tetapi kita masih luluskan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Parti di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam ucapannya meminta, semua ahli kembali memperkukuhkan parti selepas pemilihan yang menimbulkan perasaan tidak puas hati beberapa Cabang.
Menurutnya, semua pihak perlu berlapang dada dan melupakan perbezaan pendapat sewaktu pemilihan kerana agenda paling penting adalah menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Saya boleh bekerjasama dengan UMNO, siap peluk-peluk. Jadi kena move on untuk agenda lebih besar. Kalau saya boleh bekerjasama dengan UMNO kenapa kawan-kawan yang berbeza pendapat perlu mengasingkan diri seeloknya kita bersatu semula,” katanya. – UTUSAN










