Kerajaan seru syarikat perluas program latihan TVET

Syarikat perlu perbanyakkan program latihan berkaitan TVET

tvet
RUBIAH Wang bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-5 Akademi Vokasional McDonald's Malaysia di IDCC. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Semua syarikat di negara ini diminta memperbanyakkan program latihan berkaitan bagi menyokong perkembangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kerjasama yang inklusif menjadi kunci dalam membangunkan negara secara menyeluruh.

Katanya, pelaksanaan program sedemikian memberikan pendedahan kepada individu sekali gus mengubah sosioekonomi hidup.

“Saya amat menghargai komitmen syarikat-syarikat Malaysia yang mengambil inisiatif melaksanakan program latihan vokasional mereka sendiri. Sesungguhnya, program seperti ini bukan sekadar memperkasa belia tetapi juga mengangkat darjat anak bangsa.

“Justeru itu, saya ingin mengajak lebih banyak syarikat dan majikan untuk tampil ke hadapan dan memainkan peranan lebih besar dalam menyokong sistem TVET negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-5 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan jumlah permohonan kemasukan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) meningkat daripada 140,000 kepada 189,304 bagi pengambilan Julai 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan itu menunjukkan keyakinan rakyat terhadap laluan pendidikan teknikal yang kini diarus perdana sebagai salah satu teras pembangunan negara.

Dalam pada itu, kata Rubiah, kebolehpasaran graduan TVET juga dicatatkan pada kadar 95.1 peratus bagi tahun 2024.

Katanya, angka itu menunjukkan penerimaan positif syarikat dan majikan terhadap graduan dengan sijil vokasional.

“Kita percaya, model kerjasama yang inklusif dan mampan antara kerajaan, institusi latihan dan industri adalah kunci untuk memastikan negara tidak hanya memiliki tenaga kerja yang mencukupi, tetapi benar-benar bersedia untuk ekonomi masa hadapan.

“Kadar kebolehpasaran kerja sehingga 95.1 peratus membuktikan bahawa laluan ini semakin mendapat tempat dalam kalangan majikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×