Kerajaan Perak akan kemuka cadangan tambah baik JRTB - Utusan Malaysia

Kerajaan Perak akan kemuka cadangan tambah baik JRTB

SAARANI Mohamad menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta sempena Hari Eksport Perak 2025 di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perak akan mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan Persekutuan berkaitan keperluan menambah baik laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli termasuk mempertimbangkan pembinaan jajaran baru.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sudah tiba masa untuk kajian dilakukan bagi keseluruhan laluan tersebut berikutan tempoh konsesi bagi jalan raya berkenaan telah tamat sejak 40 tahun lalu.

“Harus diingat jalan raya itu dibina pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak, jadi sudah tentu semasa ia dibuat keadaannya berbeza, tiada konkrit dan sebagainya. Pembinaan jalan raya itu juga bertujuan mengekang kemasukan komunis.

“Sudah tiba masa untuk dilihat semula kerana sebahagian jalan memang sudah nampak dasar, nampak tanah dan ia tidak boleh ditampal,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Hari Eksport Perak 2025 di Hotel Casuarina di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed.

Menurut Saarani, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan menyediakan kertas kerja bagi tujuan itu untuk dipanjangkan kepada kerajaan Persekutuan.

“Menerusi mesyuarat exco hari ini, kita telah minta beliau dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyediakan senarai apa yang perlu dibuat dari segi jajaran, pelebaran, bahan binaan termasuk lampu jalan dan garisan putih.

“Kertas exco ini kita akan majukan kepada kerajaan pusat dan saya sendiri akan cuba untuk bercakap dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan hadir ke lumut pada 15 Jun ini,” katanya.

Saarani memberitahu, antara perkara lain yang dibangkitkan dalam mesyuarat exco itu adalah keperluan Hospital Gerik dinaik taraf berikutan kekerapan kemalangan yang berlaku di daerah itu.

Katanya, kertas kerja berkaitan perkara tersebut akan disediakan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan.

“Datuk Salbiah membangkitkan mengenai kekerapan berlaku kemalangan di kawasan Gerik yang menjadikan Hospital Gerik memerlukan hospital baru termasuk doktor pakar dan fasiliti.

“Cadangan itu kita akan majukan kerana kekerapan kemalangan menjadikan Hospital Gerik tidak dapat menampung kerana jumlah yang terlalu ramai,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga berharap kerajaan pusat boleh mempertimbangkan untuk menyediakan balai polis atau bomba bergerak di laluan tersebut dalam usaha mempercepatkan proses menyelamat sekiranya sesuatu kejadian berlaku.

“Laluan di situ panjang dan mengambil masa jika berlaku kejadian di tengah-tengah. Ia akan mengambil masa antara dua ke tiga jam dalam kenderaan.

“Kalau ada di tengah-tengah laluan itu jabatan kerajaan, ia mengambil masa yang lebih singkat (untuk operasi menyelamat),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN