Keputusan representasi remaja sebabkan tiga maut ditetapkan 13 Ogos

Keputusan representasi remaja sebabkan tiga maut ditetapkan 13 Ogos

SEORANG remaja lelaki yang menyebabkan tiga kematian dalam kemalangan di Senawang padaMac lalu hadir di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.-UTUSAN /MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Majistret Seremban hari ini menetapkan 13 Ogos depan sebagai tarikh keputusan representasi seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga remaja dalam kemalangan di Senawang, Mac lalu.

Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah membuat keputusan itu selepas peguam bela Johan Radzi memaklumkan bahawa pihaknya telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 Jun namun belum menerima jawapan.

Mengikut pertuduhan, remaja terbabit didakwa memandu kenderaan jenis Honda Jazz secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15; Muhammad Aswari Lotpi, 16; dan Aisar Azim Abdullah, 17.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga berdepan pertuduhan memandu tanpa lesen, mengikut Seksyen 26(1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM300 hingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.

Kedua-dua kesalahan dilakukan kira-kira jam 8.30 malam di persimpangan lampu isyarat di Taman Matahari Heights, Persiaran Senawang 1, pada 6 Mac lalu.

Sementara itu, mahkamah sama menetapkan 14 Januari 2026 bagi perbicaraan terhadap ibu kepada tertuduh, Nur Farahidayah A Rahman, 40, yang juga pemilik Honda Jazz terbabit.

Sebelum ini media melaporkan, kereta Honda Jazz dipandu seorang remaja lelaki gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua buah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.

Dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di hospital.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN