Keluarga dakwa CCTV tidak berfungsi ketika kejadian bunuh berlaku

Keluarga dakwa CCTV tidak berfungsi ketika kejadian bunuh berlaku

JENAYAH-CULIK OKU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Keluarga kepada penuntut universiti swasta yang ditemukan maut dipercayai dibunuh di Cyberjaya kelmarin mendakwa kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di unit penginapan yang disediakan pihak universiti tidak berfungsi ketika kejadian berlaku.

Bapa saudara mangsa, Datuk Rajpal Singh berkata, seluruh keluarga masih bersedih dengan kejadian menimpa anak saudaranya Maniishapriet Kaur Akhara yang mesra disapa Manisha.

“Sudah tentu kami amat sedih dengan apa yang berlaku ini. Apa yang menghairankan kejadian berlaku di tempat tinggal yang diuruskan oleh pihak universiti. 

“Beberapa perkara sepatutnya ada seperti CCTV (kamera litar tertutup). Pihak pengurusan universiti sepatutnya menyediakan keselamatan yang ketat dan sekarang ini satu nyawa sudah hilang,” katanya ketika ditemui pemberita di krematorium di sini hari ini.

Rajpal berkata, pihak keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada  polis untuk menjalankan siasatan termasuk menangkap suspek.

“Saya percaya PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan menjalankan siasatan mengikut undang-undang,” jelasnya.

Kelmarin, polis menerima laporan penemuan mayat seorang wanita berusia 20 tahun dipercayai dibunuh di unit penginapannya pada pukul 10.28 pagi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman dilaporkan berkata, mangsa berasal dari Sarawak disahkan meninggal dunia akibat hentakan objek tumpul di kepala.

Siasatan awal polis di lokasi mendapati tidak terdapat sebarang kesan pecah masuk di kediaman mangsa namun beberapa barangan peribadinya didapati hilang.

Polis juga mengesan transaksi pengeluaran wang menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik mangsa oleh individu lain selepas pembunuhan itu.

Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN