PETALING JAYA: Muncul sebagai antara nama baharu yang mencuri perhatian di pentas seni tanah air, kumpulan muzik misteri KOI memilih untuk mengekalkan identiti ‘bertopeng’ mereka.
Namun jelas mereka, keputusan tidak mendedahkan wajah bukan kerana mahu bersembunyi, sebaliknya untuk mengekalkan fokus terhadap muzik dan mesej yang ingin disampaikan.
“Kami nak orang kenal muzik kami dahulu, bukan rupa. Identiti bertopeng ni bukan gimik, tapi cara kami menunjukkan kejujuran dalam berkarya.
“Muzik yang kami hasilkan datang dari hati, bukan dari wajah atau populariti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Lebih menarik, penubuhan KOI berlaku secara tidak sengaja sewaktu ahli-ahlinya, yang terdiri daripada individu berpengalaman dalam penghasilan jingle dan lagu produk, disatukan dalam projek lagu untuk jenama tudung BCF.
“Waktu itu sepatutnya suara perempuan, tapi client pada saat akhir mahukan suara lelaki.
“Dari situ bermula, kami terus hasilkan lagu bersama dan keserasian itu menjadi,” katanya.
KOI lahir secara spontan dengan nama kumpulan yang merupakan singkatan kepada perkataan ‘Kami Orang Islam’.
“Waktu itu ada sekumpulan jemaah tabligh datang bertanyakan nama studio kami, saya terus jawab ‘KOI’ dan bila difikirkan semula, kami rasa nama yang ‘kena’ dengan perjuangan kami.
“Tapi bila ada pihak yang salah faham atau kaitkan kami sebagai penunggang agama, kami terus ambil makna lain iaitu Konflik of Interest”, kata mereka sambil tertawa.
Walaupun masih baharu, perjuangan KOI dalam muzik tidak sekadar hiburan semata-mata.
Sebaliknya, mereka mahu setiap karya yang dihasilkan dapat memberi kesedaran kepada peminat.
Setakat ini, KOI mempunyai empat single dan sedang dalam perancangan menyiapkan lima lagu menjelang hujung tahun ini.
Menurut mereka, perancangan untuk menghasilkan sebuah EP juga sedang giat dijalankan.
“Kita tengah siapkan empat ke lima lagu lagi. Harapnya sempat disiapkan sebelum bulan 12.
“Kalau jadi, senanglah nanti untuk kami membuat persembahan atau konsert. Lagu pun boleh tukar-tukar,” katanya.- UTUSAN