PETALING JAYA: Kejayaan demi kejayaan yang dilakar oleh Datuk Seri Hajiji Noor sebenarnya menjawab pelbagai tuduhan tidak betul yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap beliau.
Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Dr. Siti Yasmin Badrum berkata, di bawah Hajiji banyak kejayaan dicapai terutama pembasmian kemiskinan.
Katanya, bukti kepimpinan Hajiji yang menyerlah membolehkan pentadbirannya menangkis komen negatif daripada pihak lain.
“Hajiji merupakan pemimpin yang selayaknya terus menerajui pentadbiran Sabah kerana beliau telah membuktikan keupayaan kepimpinan yang berkesan melalui pelaksanaan dasar yang memberi impak nyata kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Di bawah kepimpinannya, pelbagai inisiatif strategik telah memperkukuh ekonomi, mengurangkan kemiskinan tegar secara signifikan, serta membuka ribuan peluang pekerjaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Keberhasilan usaha-usaha itu katanya, ini dapat dilihat dalam peningkatan taraf hidup rakyat dan kestabilan politik negeri.
“Justeru, keberkesanan dasar yang dibawanya serta hasil positif yang telah dinikmati oleh rakyat menjadikan beliau calon paling tepat untuk meneruskan kesinambungan pembangunan dan kemajuan Sabah pada masa hadapan,” katanya.
Menurutnya, penelitian terperinci dalam pelbagai sektor oleh kerajaan Sabah di bawah pentadbiran Hajiji membuahkan hasil apabila berjaya menamatkan isu kemiskinan di negeri itu.
Katanya, Hajiji memainkan peranan penting dalam mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah, menerusi pelaksanaan inisiatif pembangunan yang dirancang secara strategik di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurutnya, pelan SMJ memberikan fokus kepada pembangunan ekonomi setempat dan kemajuan luar bandar berhasil mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah selain kurang bergantung oleh pihak luar.
Jelasnya, pendekatan menyeluruh seperti pembinaan Rumah Mesra SMJ, pemberian bantuan kewangan dan penekanan terhadap pendidikan serta keusahawanan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah.
“Antara sektor utama yang diberi keutamaan oleh pentadbiran Hajiji adalah industri pembuatan, pertanian, pelancongan serta pendidikan dan latihan teknikal (TVET) yang membolehkan Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit.
“Ia termasuk pelaksanaan projek mega seperti kilang tembaga SK Nexilis bernilai RM2.3 bilion dan kilang kaca solar Kibing bernilai RM7.2 bilion, yang masing-masing menawarkan ribuan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, pentadbiran Hajiji dikritik oleh Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, membabitkan Belanjawan Sabah 2025 yang dibentangkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mohd. Shafie mendakwa belanjawan tersebut gagal menangani isu asas rakyat terutama kemiskinan, pengangguran dan kos sara hidup.
Mengulas lanjut, Siti Yasmin berkata, Hajiji turut memberikan penekanan dalam sektor pertanian dan kesejahteraan sosial masyarakat Sabah bagi meningkatkan kualiti hidup rakyatnya.
“Dalam sektor pertanian pula, projek Ladang Kelapa Linaco di Paitan dijangka menyediakan lebih 4,000 pekerjaan.
“Malah, sektor pelancongan dipertingkatkan menerusi pembangunan Lok Kawi Resort City yang berpotensi membuka 5,000 lagi peluang pekerjaan selepas siap sepenuhnya.
“Di samping itu, kerjasama dengan agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah membuahkan hasil dengan lebih 7,000 penempatan pekerjaan dicapai sehingga tahun lalu.
“Inisiatif-inisiatif ini membuktikan bahawa Hajiji komited menangani isu pengangguran dengan memfokuskan kepada sektor berimpak tinggi yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperbaiki taraf hidup rakyat Sabah secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN