Kawalan di sempadan diperketat bendung lembu seludup - Utusan Malaysia

Kawalan di sempadan diperketat bendung lembu seludup

ARTHUR Joseph Kurup (empat dari kiri) bersama petani yang menerima bantuan peralatan pertanian di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan meningkatkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa bagi membendung kegiatan penyeludupan lembu dari Thailand yang dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan makanan negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, walaupun aspek biosekuriti makanan diberikan perhatian serius oleh kementerian menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar namun kuasa penguatkuasaan berkaitan isu itu masih terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Justeru, sesi libat urus secara menyeluruh antara kerajaan negeri dan Persekutuan amat diperlukan untuk menyelaras undang-undang supaya tidak berlaku percanggahan yang boleh menggugat biosekuriti makanan negara,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan bantuan mekanisasi pertanian di sini hari ini.

Menurutnya, kadar sara diri lembu negara masih berada pada tahap rendah dan sektor penternakan menjadi antara fokus utama kementerian untuk ditingkatkan bagi menampung permintaan domestik, khususnya bagi ibadah korban.

“Bagi musim korban tahun ini, anggaran permintaan lembu di seluruh negara adalah sebanyak 34,451 ekor, manakala bekalan semasa melebihi 35,000 ekor, sekali gus mencukupi untuk menampung keperluan rakyat.

“Namun, isu penyeludupan masih berlaku dan kita sedang memperhalusi tindakan penyelarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Dari segi perundangan, pelaksanaannya agak mencabar kerana ia membabitkan bidang kuasa berbeza,” katanya.

Beliau berkata, kementerian turut bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperketat kawalan di sempadan dan menghalang kemasukan haiwan ternakan secara haram.

“Kerjasama rentas agensi ini penting bagi memastikan hanya haiwan yang sah dan memenuhi standard kesihatan dibenarkan masuk ke negara ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN