SYDNEY: Katy Perry berdepan detik cemas apabila seorang penonton konsertnya berjaya melepasi pengawal keselamatan untuk bersama penyanyi itu di atas pentas.
Dalam kejadian itu, peminat lelaki tersebut bertindak agresif, berlari melepasi pengawal keselamatan sebelum merangkul bahu penyanyi berkenaan yang ketika itu menyanyikan lagu Hot N Cold.
Terkejut dengan kemunculan lelaki itu, Perry tenang mengendalikan situasi dengan perlahan menjarakkan dirinya dari individu berkenaan.
Lelaki terbabit sempat melakukan tarian ‘Backpack Kid’ di hadapan ribuan penonton sebelum ditarik turun oleh pengawal keselamatan.
“Berseronoklah Sydney, anda tidak akan menyaksikan persembahan seperti ini di tempat lain,” seloroh Perry.
Kejadian itu menerima pelbagai reaksi netizen di media sosial dengan ada yang menyalahkan pengawal keselamatan bertugas.
“Pengawal keselamatan membiarkan individu itu naik? Semestinya lebih ramai yang akan merempuh naik jika mereka dibenarkan mendekati pentas,” tulis netizen.
Bekas juri American Idol itu pada ketika ini sedang menganjurkan konsert jelajah di beberapa lokasi di Amerika Syarikat selain Mexico, Kanada, Australia serta Eropah. – UTUSAN