Pasangan Musfirah Zulfah Mat Shoib, 36 dan suaminya Mohamad Imran Yunus yang mesra dipanggil Bamroy, kini menjadi tular di TikTok.
Kisah rumah tangga mereka yang sederhana namun penuh bahagia serta berlatarbelakangkan suasana desa yang menonjolkan realiti kehidupan kampung berjaya mencuri perhatian ramai.
Kehidupan yang sarat dengan nilai kekeluargaan membuatkan pasangan ini menjadi idola ramai, sehingga pengikut di TikTok kini mencecah hampir 900,000.
Kehidupan pasangan ini membuktikan kebahagiaan sebenar tidak memerlukan kemewahan atau kemegahan.
Kata Musfirah, dia dan suami mula mengenali antara satu sama lain sejak zaman persekolahan lagi.
Bamroy sanggup menunggu Musfirah menamatkan pengajian tinggi dan memberi ruang untuk mengejar impian sebelum memulakan kehidupan bersama.
Selepas bergelar suami isteri, perjalanan hidup mereka tidak mudah.
Musfirah pernah berkhidmat sebagai guru dan terpaksa berjauhan dengan suaminya yang menetap di kampung.
Bamroy pula bekerja dengan sederhana di kampung, memetik buah kelapa sawit, menjaga kebun dan aktif membantu masyarakat sebagai ahli jawatankuasa masjid.
“Walaupun hidup kami tidak mewah seperti sesetengah pasangan lain, kebahagiaan tetap dapat dicari walaupun dalam ruang yang sederhana.
“Kami yakin rahsia rumah tangga berkat bukan pada harta tetapi pada hati yang saling melengkapi dan memahami satu sama lain,” kata Musfirah yang selesa untuk tidak mendedahkan wajahnya di media sosial.
Kini, selepas 11 tahun bersama, pasangan ini kekal menjadi inspirasi ramai kerana menunjukkan kesetiaan, pengorbanan dan saling memahami antara satu sama lain adalah kunci kebahagiaan sebenar.
Musfirah juga sanggup meninggalkan kerjaya sebagai guru dan pulang ke kampung demi berada di sisi suami.
Bermula sekadar berkongsi video resipi masakan kampung di media sosial, Musfirah tidak pernah menyangka kisah di sebalik dapurnya turut mencuri perhatian ramai.
Tanpa dirancang, perkongsian tentang rutin harian Bamroy, perlahan-lahan menjadi tumpuan dan buah mulut warga net.
Setiap hari Bamroy mengisi waktu dengan aktiviti sederhana.
Bersiap ke masjid untuk solat berjemaah, menyusuri sungai menjala atau memancing ikan, hinggalah mengutip sayur kampung dan mengemas halaman rumah.
Rutin yang mungkin kelihatan biasa ini, rupa-rupanya memberi ketenangan kepada pengguna media sosial yang menonton.
Lebih mencuri perhatian, sikap Bamroy yang ringan tulang serta kelembutan layanannya terhadap isteri.
Setiap gerak-geri dan tutur katanya memancarkan rasa hormat dan kasih sayang, membuatkan ramai tersenyum dan setuju inilah contoh pasangan yang saling melengkapi dalam kesederhanaan.
Tidak hairanlah ruangan komen dibanjiri reaksi positif. Ramai lelaki secara terbuka mengakui Bamroy sebagai idola, sementara kaum wanita pula menjadikan hubungan mereka sebagai inspirasi rumah tangga.
“Pada mulanya, saya hanya memanfaatkan TikTok bagi video masakan yang diolah dengan bantuan suami namun, tidak sangka ia mendapat tindak balas yang positif daripada netizen.
“Kemudian, video saya semakin tular apabila berkongsikan aktiviti-aktiviti suami sehingga menarik perhatian pengikut-pengikut saya. Selepas itu, saya turut membantu mempromosikan produk di aplikasi tersebut,” katanya.
Kata Musfirah, dia lebih senang berkongsi perkara yang dekat di hatinya termasuklah rutin harian yang benar-benar mencerminkan kehidupan sebenarnya.
Mungkin disebabkan itu, ramai selesa mengikuti setiap langkah perjalanannya bersama suami.
TOLERANSI, PENGORBANAN
Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri.
Begitu juga dengan pasangan ini. Kata Musfirah, setiap perkahwinan tidak lari daripada salah faham, namun yang membezakan kebahagiaan tersebut ialah suami isteri memilih untuk bertenang, berbincang dan mencari titik penyelesaian.
Baginya, kesabaran juga memainkan peranan yang paling utama.
Katanya, Bamroy dapat dijadikan sebagai contoh penyabar yang terbaik.
“Hampir sembilan tahun berkawan dengannya sebelum berkahwin, membuatkan saya kagum dengan ketabahan dia yang akhirnya meyakinkan saya untuk memilihnya sebagai lelaki yang tepat,” katanya.
Musfirah mengakui dirinya lebih beremosi dan cepat merajuk, namun Bamroy tidak pernah meninggikan suara padanya.
DIUJI ZURIAT
Salah satu kenangan paling manis dalam perkahwinan Musfirah bersama suaminya ketika tahun kesembilan perkahwinan mereka.
Waktu itu, Musfirah tidak menyedari dirinya sedang hamil sebulan.
Berita gembira itu bagaimanapun bertukar pilu apabila doktor mengesahkan kandungan berada di luar rahim dan tidak dapat diselamatkan.
Meskipun dirundung kesedihan, pasangan ini memilih untuk melihatnya sebagai satu memori manis yang mengingatkan mereka tentang keajaiban kehidupan.
“Sekurang-kurangnya, peristiwa tersebut menandakan saya bukanlah mandul dan tidak boleh beranak langsung,” kata Musfirah dengan tenang.
Bagi pasangan ini, pengalaman itu bukan sekadar kehilangan, tetapi satu pengajaran tentang nilai kesabaran, ketabahan dan kepercayaan.
Mereka belajar rezeki boleh hadir dalam pelbagai bentuk, kadang-kadang datang sebagai ujian yang menguatkan, bukan melemahkan.
Ujian kehilangan itu juga membuka mata mereka bahagia dan tenang dalam rumah tangga tidak semestinya bermakna perjalanan perkahwinan sentiasa mudah.
Musfirah dan Bamroy memilih untuk menerima ujian itu dengan hati terbuka serta percaya setiap pengalaman, termasuk kehilangan dan kesabaran menunggu zuriat membentuk mereka menjadi pasangan yang lebih matang dan penyayang.
Pengalaman pahit itu juga menjadikan mereka lebih menghargai momen-momen kecil yang sering diambil ringan dalam kehidupan seharian.
Kini, walaupun mereka masih menunggu kehadiran cahaya mata, Musfirah dan Bamroy tetap mengekalkan rumah tangga yang bahagia.
Bagi mereka, bahagia bukan hanya diukur dengan memiliki zuriat, tetapi dengan kemampuan menghargai setiap detik yang dikongsi bersama, dan terus percaya pada keajaiban kehidupan.
TEROKA PERNIAGAAN
Berbekalkan minat mendalam terhadap dunia masakan, Musfirah juga berjinak-jinak membuka perniagaan sambal buatan sendiri.
Menurutnya, idea menghasilkan sambal tercetus daripada permintaan orang sekeliling yang sering memuji keenakan sambal air tangannya.
Daripada situ, Musfirah menjadikan ikan tangkapan suaminya sebagai bahan utama bagi menghasilkan sambal.
Walaupun masih di peringkat awal, pasangan tersebut optimis sambal keluaran mereka mampu berkembang dan menembusi pasaran yang lebih luas.-UTUSAN










