Dafi belum sedia kongsi mengenai kesihatan - Utusan Malaysia

Dafi belum sedia kongsi mengenai kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Disangka menghidapi kanser darah akibat kerap dilihat berada di hospital, penyanyi, Dafi Ismail belum bersedia untuk berkongsi sebarang berita mengenai kesihatannya. 

Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 37, bagaimanapun berharap orang ramai akan terus mendoakannya selain berkongsi badannya sudah semakin berisi. 

“Sebelum ini kecoh saya ambil bahan terlarang sebab terlalu kurus, sekarang berat dah naik sikit, apa lagi orang nak cakap?

“Kalau ada yang rasa saya sakit, doa-doakan kesihatan saya. Buat masa sekarang saya tiada apa nak beritahu. 

“Sekarang semakin sihat, semakin bulat. Tiada apa yang merisaukan, setakat ini alhamdulillah tetapi teruskan doa saya sihat,” katanya.

Dafi ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana filem Martabat Misi Berdarah di Mid Valley Megamall, kelmarin.

Tambah penyanyi Bila Terasa Rindu itu lagi, kedatangannya ke hospital adalah bertujuan untuk mengunjungi kenalan yang sedang mendapatkan rawatan juga melakukan pemeriksaan kesihatan peribadi.

“Pergi ke hospital itu normal, kadang-kadang ada saudara-mara masuk sana atau kawan-kawan yang buat pemeriksaan kesihatan.

“Saya sendiri tidak sihat, ada asma. Jadi, untuk ke hospital bukan satu benda yang pelik. Secara general, saya pergi hospital buat pemeriksaan kesihatan, itu pun setahun sekali. 

“Saya bersyukur dan berterima kasih ramai yang risau dan bimbang dengan saya. Doakan kesihatan saya terus baik,” ceritanya. 

Dalam pada itu, Dafi bersyukur kerana berat badannya semakin bertambah dan berharap agar peminat tidak terlalu bimbang akan kesihatan dirinya.

“Senang naikkan berat badan, hanya makan saja cuma nak turunkan yang susah. Saya bersyukur apabila jumpa orang kata semakin sihat. 

“Tidak pasti sama ada gembira atau tidak sebab selalunya berat badan naik orang kaitkan dengan benda negatif tetapi situasi saya berbeza pula. 

“Sekarang saya selesa dengan berat badan saya, sebenarnya saya tidak suka orang risaukan saya. Kegembiraan saya datang apabila tidak merisaukan orang lain,” jelasnya. 

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila seorang pengguna memuat naik gambar kelibat Dafi di sebuah hospital. Spekulasi kemudian tercetus mengatakan Dafi dikatakan menghidapi kanser darah yang sedang mendapatkan rawatan susulan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN