JEMPOL: Pandemik Covid-19 yang pernah melanda negara menjadi titik tolak perubahan hidup bagi sebuah keluarga di daerah ini apabila mereka memilih untuk menjual aiskrim, bukan di tepi jalan, tetapi di puncak Bukit Penarikan.
Zashahrina Zul, 43, berkata idea unik itu dicetuskan oleh suaminya, Khairul Izwan Mohamad, 49, selepas kedai makan mereka terjejas teruk semasa pandemik dan hanya mampu beroperasi secara tempahan dan penghantaran makanan.
“Bukit Penarikan merupakan lokasi tumpuan pendaki yang ingin menyaksikan matahari terbit dan fenomena awan karpet. Suami cadangkan kami cuba jual aiskrim di situ,” katanya.
Pasangan itu bermula secara kecil-kecilan dengan beberapa batang aiskrim Malaysia dan minuman tin. Sambutan menggalakkan menyebabkan mereka kini membawa sehingga 200 batang aiskrim dan empat beg besar minuman setiap hujung minggu dan cuti umum.
Cabaran utama adalah membawa bebanan 20 hingga 25 kilogram setiap beg menaiki laluan curam ke puncak. Menurut Zashahrina, anak-anak mereka turut memainkan peranan membantu perniagaan kecil ini.
“Mereka sudah biasa dengan rutin bangun awal dan naik ke puncak lebih awal kerana pendaki biasanya tiba seawal 6 pagi,” katanya.
Hasil jualan itu mampu menjana pendapatan sampingan dan menjadi pengikat semangat keluarga untuk terus bangkit pasca pandemik Covid-19. – UTUSAN










