Jual 200kg maman sebelum Aidiladha

Jual 200kg maman sebelum Aidiladha

ABDUL Razak Mohd. Yassin dan Beah Pasang menunjukkan maman ketika ditemui di Kampung Batang Rokan, Tampin, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Walaupun sudah berusia emas, pasangan suami isteri, Abdul Razak Mohd. Yassin, 74, dan Beah Pasang, 65, tetap mahu berbakti kepada tanah.

Usaha mereka berbaloi apabila tanaman seperti maman mendapat permintaan tinggi menjelang sambutan perayaan yang menjadi bahan utama masyarakat di Gemencheh untuk masakan rendang.

Maman atau nama saintifiknya cleome gynandra merupakan sayuran yang boleh tumbuh dan dituai sepanjang tahun.

Beah berkata, bermula dari menanam hinggalah menjual, semuanya diuruskan oleh mereka dan dibantu ahli keluarga yang hanya bekerja kampung.

“Alhamdulillah untuk Hari Raya Aidiladha ini sudah 200 kilogram (kg) maman terjual. Malah, anak-anak serta cucu pun rajin membantu di kebun ini menjadikan saya serta suami lebih bersemangat.

“Maman kebiasaannya menunggu masa sebulan sahaja untuk mengeluarkan hasil dan bagi maman yang tua pula, kami menjadikannya sebagai benih kerana benih maman yang dijual di pasaran agak mahal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Batang Rokan di sini.

Bagi Abdul Razak, dia berasa lebih sihat setiap kali berkebun sepanjang lebih 30 tahun meng­usahakannya.

Menurutnya yang mempunyai enam anak serta 18 cucu, tanaman maman tidak sukar untuk dijaga, namun sensitif sekiranya cuaca terlalu panas atau kerap hujan.

“Alhamdulillah, berkebun ini sudah jadi punca rezeki buat kami sekeluarga. Anak-anak, menantu serta cucu semua merasa hasil berbakti pada tanah. Malah, rezeki ini juga kami gunakan untuk anak kelima yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

“Kalau kena jaganya, kebun ini mampu menghasilkan satu tan maman. Namun, saya turut selitkan juga hasil kebun lain seperti pisang, pucuk ubi untuk tambah pendapatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN