Pemilik akhirnya tinggalkan rumah di tengah lebuh raya, tidak tahan bunyi bising

Pemilik akhirnya tinggalkan rumah di tengah lebuh raya, tidak tahan bunyi bising

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIANGXI: Sebuah rumah di tengah-tengah lebuh raya yang terkenal di wilayah Jiangxi, China akhirnya ditinggalkan selepas pemiliknya tidak lagi mampu bertahan dengan deruman kenderaan yang lalu-lalang 24 jam sehari.

Kediaman tersebut pernah menjadi tajuk utama media China pada April lalu apabila sebuah lebuh raya baharu dibina mengelilinginya selepas pemilik, dikenali sebagai Huang Ping menolak tawaran pampasan daripada kerajaan tempatan.

Huang sebelum ini tegas mempertahankan rumahnya meskipun semua penduduk di kawasan tersebut sudah berpindah.

Dia pernah ditawarkan pampasan sebanyak 1.6 juta yuan (RM 940,972), namun menolak syarat pembayaran secara dua ansuran.

Keputusan itu akhirnya memakan diri apabila pihak berkuasa meneruskan pembinaan lebuh raya dengan mengelilingi rumah berkenaan, menjadikannya terpencil di tengah-tengah jalan raya.

Dari pandangan udara, kediaman itu kelihatan seperti ‘sebiji mata’ di tengah lebuh raya, namun tanpa sebarang perlindungan bunyi, ia menjadi hampir mustahil untuk didiami selepas aliran trafik bermula April lalu.

Akhirnya, keluarga Huang terpaksa berpindah kerana tidak tahan dengan kebisingan serta gegaran kenderaan berat.

Media tempatan melaporkan, penduduk mula menyedari rumah itu ditinggalkan bulan lalu apabila kelihatan tingkap pecah dan rumput liar memenuhi kawasan sekitarnya.

Huang mengesahkan dia serta keluarganya kini menyewa rumah di bandar berhampiran, namun tidak pasti apa nasib rumah lama itu.

Sekiranya ia dirobohkan, dia dijangka hanya menerima sebahagian kecil daripada pampasan yang pernah ditawarkan.

Perkara itu turut mengundang pelbagai reaksi di media sosial Weibo di mana terdapat sebahagian pengguna bertindak menyindir sikap pemilik rumah tersebut yang dilihat keras kepala manakala ada segelintir mempersoalkan nilai rumah tersebut jika kerajaan tidak membina jalan raya demi meningkatkan taraf hidup. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN