IPOH: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah mengarahkan satu laporan lengkap disediakan berhubung tindakan seorang guru membuat hantaran jelik di media sosial berkaitan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Gerik, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, laporan itu perlu disediakan oleh pengetua sekolah guru terbabit selaras dengan pekeliling dikeluarkan Kementerian Pendidikan berkaitan pengurusan isu.
Katanya, berdasarkan semakan, guru tersebut mengajar di sebuah sekolah menengah di negeri ini.
“Apabila hantaran itu tular, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah menghubungi pengetua sekolah selain kaunselor PPD turut berhubung dengan guru itu dan menasihatinya.
“Guru itu telah memadam hantaran berkenaan pada pukul 8.10 malam (semalam),” katanya di sini hari ini.
Menurut Khairudin, pihaknya kesal dengan tindakan guru berkenaan yang memuat naik hantaran jelik yang menyinggung perasaan keluarga mangsa.
Terdahulu kenyataan dimuat naik pemilik akaun Facebook, Khalid Yunus menimbulkan pelbagai reaksi apabila lelaki itu mendakwa 15 pelajar UPSI yang maut dalam nahas itu meninggal dunia dalam keadaan hina.
Lelaki terbabit juga mendakwa kesemua pelajar yang terkorban itu bukan orang yang beriman kerana meninggal dunia dalam keadaan berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Bagaimanapun, hantaran itu telah dipadam dan guru berkenaan membuat permohonan maaf di akaun laman sosialnya selain mendakwa menghidap penyakit skizofrenia.
Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah malam di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli itu, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta jenis Perodua Alza dinaiki empat sekeluarga.
Kemalangan itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut manakala pemandu dan penumpang MPV cedera.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim. – UTUSAN