RIYADH: Penyerang Chelsea, Joao Felix melengkapkan perpindahan ke kelab Arab Saudi, Al-Nassr dalam satu perjanjian bernilai sehingga 43.7 juta pound (RM247 juta).
Perjanjian tersebut merangkumi bayaran awal sebanyak 26.2 juta pound (RM148 juta) dengan tambahan 17.5 juta pound (RM98.9 juta) bergantung prestasi.
Felix sebelum ini dikaitkan dengan kemungkinan kembali ke Benfica, kelab di mana dia memulakan kerjaya profesionalnya, namun Al Nassr bertindak pantas untuk mendapatkan tandatangannya.
Kelab Arab Saudi itu sedang memperkukuh skuad mereka dalam usaha memburu kejuaraan Liga Pro Saudi, selepas baru-baru ini melanjutkan kontrak Cristiano Ronaldo dan melantik jurulatih berpengalaman dari Portugal, Jorge Jesus, sebagai pengurus.
Pemergian Felix memberikan Chelsea kelonggaran kewangan yang penting Ketika berusaha mendapatkan penyerang RB Leipzig, Xavi Simons, dengan sebarang pembelian lanjut musim panas ini bergantung kepada penjualan pemain.
Felix mula menyertai Chelsea secara pinjaman dari Atletico Madrid pada Januari 2023, sebelum perpindahan itu dijadikan kekal pada musim panas lalu dengan bayaran 46.3 juta pound (RM261.8 juta).
Bagaimanapun, pemain Portugal itu bergelut untuk mengekalkan konsistensi dan hanya menjaringkan tujuh gol dalam 20 penampilan musim lalu selain pernah dipinjamkan ke AC Milan awal tahun ini dan menjaringkan tiga gol dalam 19 perlawanan.
Menerusi penjualan ini, Chelsea berjaya mendapatkan semula hampir keseluruhan jumlah yang dibayar untuk menandatangani Felix, dibantu oleh bayaran pinjaman 5 juta pound (RM28 juta) dari Milan .
Secara keseluruhan, kelab itu menjana 135.7 juta pound (RM767 juta) hasil jualan pemain setakat ini musim panas ini, membantu mengekalkan perbelanjaan bersih pada 82.3 juta pound (RM465 juta). – AGENSI/UTUSAN










