Johor cadang negeri diberi tanggungjawab urus projek tertangguh

Johor cadang negeri diberi tanggungjawab urus projek tertangguh

ONN Hafiz Ghazi menyampaikan cendermata kepada Kampung Permatang Duku sebagai johan Anugerah Aspirasi Madani di Dewan Jubli Sultan Ibrahim di Pontian, petang ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kerajaan Johor mencadangkan negeri diberi tanggungjawab menguruskan projek tertangguh membabitkan pelbagai kemudahan seperti jalan, masjid, hospital dan klinik kesihatan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia bagi membolehkan semua projek tertangguh itu disiapkan selain mengelakkan ketirisan sekali gus menyebabkannya ia tertangguh lebih lama.

Katanya isu kelewatan projek yang kini masih berada diperingkat pra  pelaksanaan menyebabkan rakyat menerima kesannya. 

“Kelewatan projek yang terlalu lama menyebabkan rakyat marah kepada kerajaan dan Johor cadangan supaya peruntukan biar negeri urus, kontraktor biar negeri pilih atau lantik berikutan kebanyakan kontraktor dari luar tidak dikenali dan sukar untuk berbincang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian, di sini, hari ini. 

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Semalam, sebanyak 222 projek di negeri ini yang dianggarkan bernilai RM10 bilion dan sepatutnya dilaksanakan antara 2016 hingga tahun lalu, dilaporkan belum dimulakan.

Onn Hafiz berkata, Kerajaan Johor diminta tidak risau, berikutan ia akan disemak dengan kementerian masing-masing dan diluluskan.

“Semua projek ini untuk rakyat, sampai hari ini pun belum mula,” katanya.

Sementara itu, pada sidang akhbar, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menyarankan Kerajaan Johor menulis surat rasmi kepada Kementerian Kewangan bagi membincangkan kelewatan pelaksanaan 222 projek pembangunan di negeri itu yang kini dianggarkan berjumlah RM10 bilion.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu berkata, langkah itu penting kerana kebanyakan projek tertangguh membabitkan kementerian Persekutuan seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

“Aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pertahanan adalah antara sektor di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan pelaksanaannya perlu mengikut saluran perundangan serta persekutuan yang ditetapkan.

“Secara peribadi saya menyokong hasrat Menteri Besar menjadikan Johor sebagai negeri perintis melaksanakan sendiri projek Persekutuan. 

“Tetapi dari segi prosedur dan strukturnya, elok Kerajaan Johor melalui Menteri Besar menulis secara rasmi kepada Menteri Kewangan,” katanya 

Ahli Parlimen Pontian itu turut menyokong hasrat kerajaan negeri mempercepat projek-projek terbabit, namun mengingatkan supaya sebarang langkah mengambil alih pelaksanaan projek Persekutuan perlu dibuat dengan penuh pertimbangan.

“Tindakan Menteri Besar mengarahkan semua Exco negeri berjumpa dengan kementerian berkaitan sebagai satu bentuk wake-up call yang wajar dipandang serius.

“Ini isyarat jelas daripada Johor bahawa projek-projek pembangunan tidak boleh terus tertangguh. Sebagai contoh, Hospital Pontian diumum dalam Belanjawan 2023 tapi kementerian hanya lawat tapak pada Jun 2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN