PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menasihatkan orang ramai supaya tidak terjebak dengan pinjaman wang haram yang boleh mengancam keselamatan diri dan keluarga.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, orang ramai perlu mendapatkan pinjaman hanya melalui saluran sah iaitu pemberi pinjam wang berlesen yang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).
“Di bawah akta ini, kadar faedah bagi pinjaman tanpa cagaran tidak boleh melebihi 18 peratus setahun, manakala bagi pinjaman bercagar tidak boleh melebihi 12 peratus setahun.
“Pemberi pinjam wang juga tidak dibenarkan mengenakan faedah melebihi jumlah pokok pinjaman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu susulan kejadian kebakaran tiga rumah teres di Taman Tasek Gelugor Utama yang dipercayai dilakukan oleh pemberi pinjaman wang haram.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, Seksyen 29(B) Akta 400 melarang pemberi pinjam wang berlesen atau wakil mereka daripada mengunjungi rumah peminjam atau tempat kerja bagi tujuan mengutip bayaran balik pinjaman termasuk dengan niat mengugut.
“Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang ini, orang ramai diminta segera membuat laporan kepada KPKT atau pihak polis supaya tindakan tegas dapat diambil,” ujarnya.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa menyemak status pemberi pinjam wang berlesen melalui aplikasi i-Kredikom atau menghubungi KPKT.
Menurutnya, KPKT memandang serius kegiatan pinjaman wang haram yang mengambil kesempatan terhadap golongan berpendapatan rendah dan terdesak.
“Along sering memerangkap peminjam dalam kitaran hutang yang ganas dengan mengenakan kadar faedah melampau, gangguan serta ugutan keganasan.
“Kita gesa pihak polis mengambil tindakan tegas dan menyeluruh bagi membanteras kegiatan ini sehingga ke akar umbi,” katanya. – UTUSAN