‘Jaga adab, jangan ambil tanah kubur’

‘Jaga adab, jangan ambil tanah kubur’

ORANG ramai menziarahi pusara Allahyarham Nurly Sahirah Azman di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang, Jerteh, Besut, Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Keluarga Allahyarham Nurly Shahirah Azman menegur tindakan segelintir pengunjung yang dikatakan tidak menjaga adab dan bertindak mengambil tanah pusara anaknya bagi tujuan tertentu.

Allahyarham Nurly Shahirah adalah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas ngeri di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.

Bapanya, Azman Mohammad, 64, berkata, sekiranya benar ada pihak yang mengambil tanah daripada pusara itu untuk tujuan salah ia adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam, syirik dan dosa besar.

“Saya tidak pasti apa tujuan sebenar mereka ambil tanah itu, tetapi kalau benar seperti yang dimaklumkan kepada saya, ia adalah perbuatan yang bercanggah dengan agama.

“Tanah kubur bukan tempat cari berkat atau populariti. Jangan ganggu tanah perkuburan demi apa juga maksud. Saya minta mereka yang ambil tanah itu tampil memohon maaf kepada keluarga dan lebih utama, memohon ampun kepada Allah SWT,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gong Pasir, Kerandang, di sini, semalam.

Azman berkata, tali rentang telah dipasang di kawasan perkuburan kelmarin, sebagai peringatan kepada orang ramai supaya menjaga adab ketika menziarahi pusara.

“Saya tidak halang orang ramai ziarah kubur anak saya, tetapi tolong jaga adab dan tatasusila. Sedekahkan al-Fatihah sudah memadai,” katanya.

Beliau berkata, sejak kejadian tersebut, pihak berkuasa agama turut hadir memantau keadaan di tanah perkuburan termasuk pada waktu malam bagi mengelak perkara sedemikian berlaku.

Sementara itu, abang Allahyarham, Mohd. Najmuddin, 28, berkata, keluarganya tidak akan menerima sebarang kunjungan orang ramai di kediaman mereka bermula 2 julai hingga 5 Julai ini bagi memberi ruang kepada ibu bapa mereka berehat.

“Sejak arwah meninggal, Umi dan Abah belum sempat berehat. Kami mohon jasa baik orang ramai beri ruang kepada mereka untuk tenangkan diri dahulu,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Najmuddin turut menegur tindakan sesetengah individu yang berziarah ke pusara adiknya dan mencium al-Quran yang pernah ditulis semula oleh Allahyarham, kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan terhadap akidah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN