BANGI: Graduan universiti perlu menjaga adab dan memanfaatkan ilmu dengan penuh tanggungjawab selaras dengan kejayaan akademik yang dicapai.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, ijazah yang diterima bukan sekadar pengiktirafan akademik, sebaliknya amanah besar yang perlu dimanfaatkan untuk kebaikan diri, masyarakat dan negara.
“Dalam dunia yang penuh cabaran, kekalkan adab, kejujuran dan integriti,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Selangor (UIS) Kali ke-28 di Dewan Sultan Idris Shah di sini hari ini.
Baginda berkata, para graduan perlu tampil sebagai individu berilmu yang mampu menjadi penyelesai masalah dan pembina harapan, bukan pencetus perbalahan dalam masyarakat.
“Saya ingin melihat para graduan tampil sebagai insan berilmu yang berjiwa besar, menjadi penyelesai masalah bukan pencetus perbalahan.
“Gunakan ilmu sebagai suluh yang membimbing langkah dan nilai Islam sebagai tiang yang menegakkan maruah dan jati diri,” titah baginda.
Pada istiadat berkenaan, seramai 987 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian diraikan iaitu tiga graduan Doktor Falsafah, enam graduan Sarjana, 535 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 443 graduan Diploma.
Majlis turut menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Islamiyyat kepada Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid sebagai mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam bidang fatwa, pendidikan dan pembangunan institusi agama. – UTUSAN








