Ingin cabar diri punca dua beradik kembar sertai UTK - Utusan Malaysia

Ingin cabar diri punca dua beradik kembar sertai UTK

PASANGAN kembar semasa di Majlis Penganugerahan Beret UTK di Bukit Aman hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ingin mencabar diri serta minat mendalam sejak kecil merupakan faktor  utama dua beradik kembar menyertai pasukan elit, Unit TindakKhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Pasangan kembar berusia 24 tahun yang berpangkat konstabel dikenali sebagai Faiz dan Farhan, antara 36 pelatih yang berjaya menamatkan Kursus Asas Kawalan Rapat Keselamatan Siri 1/2025.

Farhan berkata, dia yang sebelum ini bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pahang tertarik untuk menyertai UTK kerana ingin mencabar diri. 

“Sebelum ini saya hanya bertugas sebagai pemandu, ingin cabar diri lebih-lebih lagi ayah sebelum ini seorang tentera,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Penganugerahan Beret UTK di Bukit Aman hari ini.

Sementara itu, kembarnya, Faiz mengakui ada rasa mahu putus asa semasa menyertai kursus berkenaan, namun semangat juang kuat serta kehadiran kembarnya menjadi penguat sepanjang sesi latihan. 

“Secara jujurnya ada rasa nak give up, tapi sebab kembar saya ada itu terus beri semangat, bila kami ‘down’, antara kami akan beri semangat untuk capai sasaran ini,” katanya. 

Dalam pada itu,  Inspektor Intan, 29, satu-satu pelatih wanita yang berjaya menamatkan kursus bertekad mahu membuktikan wanita mampu mengatasi cabaran demi bergelar operatif pasukan khas itu.

Katanya, pelbagai cabaran berjaya ditempuhi sepanjang kira-kira empat bulan mengharungi latihan asas berkat doa ibu bapa yang menjadi antara pendorong utama.

Menurutnya, sebagai anak sulung daripada lima beradik, dia mahu mengubah nasib keluarga dengan menyertai pasukan PDRM. 

“Nak cerita dugaan ini, sebagai satu-satunya (pelatih) perempuan dalam kalangan lelaki memang tidak mudah untuk saya jalani latihan asas ini.

“Jujur saya cakap, sepanjang tiga bulan latihan memang banyak kali rasa nak putus ada, rasa nak balik, tetapi saya bersyukur sebab kawan-kawan lain beri semangat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN