NSFC 'mengamuk' tumpaskan PDRM FC 5-0

NSFC ‘mengamuk’ tumpaskan PDRM FC 5-0

JOVAN Motika meraikan gol jaringannya bersama rakan sepasukan dalam aksi Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) meraih kemenangan besar 5-0 ke atas PDRM FC dalam aksi pusingan 16 Piala FA malam ini.

Berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, anak didik Nidzam Jamil tidak menunggu lama apabila memperoleh gol seawal minit pertama menerusi ledakan sepakan percuma penyerang import, Jovan Motika.

PDRM tidak lama kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan, Agbre Noel dilayangkan kad merah oleh pengadil Mohammad Zamzaidi Katimin susulan tindakannya mengasari Joseph Esso.

Insiden tersebut ternyata mengubah keseluruhan aksi yang menyaksikan tuan rumah menguasai perlawanan.

Gol kedua muncul pada minit ke-40 sekali lagi menerusi Motika yang menyempurnakan hantaran ketua pasukan, Takumi Sasaki.

Menuju masa rehat, tuan rumah mendapatkan gol ketiga menerusi Joseph Esso yang mudah menewaskan gawang pelawar yang dikawal Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim

Walaupun gol itu pada mulanya dibatalkan pengadil namun semakan video bantuan pengadil (VAR) kemudiannya mengesahkan jaringan terbabit.

Skuad Jang tidak berhenti setakat itu, dan hasil serangan berterusan, mereka memperoleh gol keempat pada minit ke-75 menerusi gerakan solo menarik pemain gantian dari Jepun, Mio Tsuneyasu.

Tiga minit kemudian, tuan rumah melengkapkan kemenangan selesa apabila menerusi jaringan Esso yang juga gol kelima dalam perlawanan ini.

Sehingga tamat perlawanan, keputusan kekal dengan jaringan 5-0 memihak NSFC.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×