ALOR GAJAH: Kedudukan Melaka dalam industri pelancongan maritim serantau semakin kukuh apabila Terminal Feri Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Laksamana merekodkan lebih 35,000 pergerakan penumpang dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, perairan Melaka kini menjadi tumpuan kehadiran pelbagai kapal persiaran mewah seperti Blue Dream Melody, Genting Dream Cruise termasuk Star Voyager yang mula berlabuh pada Mac lalu.
Beliau berkata, dua Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) termasuk pembangunan Limbungan Enrique of Malacca iaitu pelabuhan moden yang bakal membuka peluang pekerjaan dan pelaburan maritim baharu.
“Kerajaan negeri mengangkat kembali legasi (sebagi pelabuhan ulung) dengan pembangunan Straits Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) yang bakal membentuk wajah baharu Melaka sebagai Future Maritime City. Zon ini merangkumi kawasan tambakan sejauh 20 kilometer dan lengkap dengan pelabuhan berteknologi tinggi, hab logistik, pusat dagangan dan pelancongan maritim.
“Kita turut memberi tumpuan kepada Blue Economy (Ekonomi Biru) untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dan kelestarian alam. Industri perikanan, tenaga boleh diperbaharui, pelancongan marin dan pemeliharaan biodiversiti laut adalah antara teras utama,” katanya ketika berucap pada Program Lawatan dan Majlis Ramah Mesra Kerajaan Negeri Melaka Bersama Warga Akademi Laut Malaysia (Alam) di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ab. Rauf memaklumkan, kerajaan negeri menyokong penuh usaha Alam untuk mendapatkan status kolej universiti menjelang akhir tahun ini.
“Sejak penubuhan Alam pada 1977, akademi ini telah berjaya melahirkan lebih 15,000 tenaga mahir dalam pelbagai bidang maritim. Mereka inilah yang membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
“Justeru, kerajaan negeri menyokong penuh aspirasi ini kerana kita percaya bahawa Alam layak menjadi hab kecemerlangan ilmu dan latihan maritim di rantau ini,” ujarnya.-UTUSAN