KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen (Imigresen) menahan 48 warga asing dalam dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang yang disyaki terbabit dalam aktiviti pelupusan e-waste haram serta sindiket penipuan dalam talian.
Serbuan dijalankan pada 19 Jun lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi pertama dibuat pada 11 pagi dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan selama dua minggu ke atas premis kilang yang disyaki menjalankan pelupusan sisa elektronik secara haram di kawasan perindustrian Pulau Indah, Klang.
Katanya, dalam operasi itu, pemeriksa dibuat terhadap 42 individu dan 39 daripadanya adalah warga asing, manakala tiga lagi warga tempatan.
“Seramai 39 warga asing ditahan terdiri daripada empat lelaki dan 12 wanita warga China serta 27 lelaki warga Bangladesh berusia antara 25 hingga 49 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Serbuan kedua di kawasan perumahan mewah di Kajang dan Kuala Lumpur yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti penipuan dalam talian.
“Hasil pemeriksaan, Imigresen menahan sembilan warga asing terdiri daripada empat lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga China serta seorang lelaki warga Taiwan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia antara empat hingga 43 tahun dan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, sebanyak tujuh saman kepada saksi turut dikeluarkan dan semua warga asing yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi terhadap warganegara asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.
“Tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.- UTUSAN