TEMERLOH: Tuah menyebelahi seorang anak muda dari Taman Saga, Mentakab, dekat sini apabila ‘mendaratkan’ seekor ikan tongsan sisik kasar seberat 9.26 kilogram, sekali gus dinobatkan sebagai juara kategori ikan terberat dalam Pesta Menjala dan Menangkap Ikan Estet Ikan Paya Chempaka di Lanchang, semalam.
Muhd. Adam Ahmad Sufian, 26, berkata, dia memulakan aktiviti menjala seawal pukul 8 pagi dan menaikkan ikan tersebut sekitar pukul 9.30 pagi.
“Sebelum ini saya pernah sertai pesta menangkap ikan tetapi tidak pernah mendapat rezeki ikan sebesar ini. Alhamdulillah, kali ini rezeki berpihak kepada saya.
“Sebagai juara kategori ikan terberat, saya membawa pulang sebuah peti ais sebagai hadiah utama,” katanya selepas pesta berkenaan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain.
Muhd. Adam berkata, selain ikan tongsan, dia turut menaikkan beberapa jenis ikan lain seperti patin dan lampam, menjadikan penyertaannya kali ini lebih bermakna.
Sementara itu, Abdul Razak Jama, 57, dari Kampung Teris turut berkongsi keterujaannya apabila berjaya menaikkan pelbagai spesies ikan termasuk toman, patin dan lampam dengan jumlah berat keseluruhan melebihi 50 kilogram.
“Saya hadir bersama dua ahli keluarga dan mula menjaring pukul 8 pagi. Seronok bila dapat menjala ramai-ramai bersama penduduk kampung. Setiap kali pesta seperti ini diadakan, saya pasti menyertainya,” katanya.
Menurutnya, sebahagian hasil tangkapan dimasak gulai tempoyak dan dijadikan pekasam untuk dinikmati bersama keluarga.
Seorang lagi peserta, Noraini Ahmad, 39, dari Puchong, Selangor berkata, ini kali kedua menyertai pesta di situ,
“Sebelum ini saya pernah sertai di Maran. Seronok dapat luangkan masa dengan keluarga dalam suasana kampung,” katanya. – UTUSAN











