Ibu mentua Ahli Parlimen Larut maut dalam kebakaran rumah - Utusan Malaysia

Ibu mentua Ahli Parlimen Larut maut dalam kebakaran rumah

KEADAAN rumah yang terbakar di Kampung Sungai Rapat Tambahan di Ipoh semalam. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Wanita warga emas yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Raja Abdullah, Kampung Sungai Rapat Tambahan di sini malam tadi merupakan ibu mentua Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Sayani, mangsa, Salmiah Nyak Matt berusia 84 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang bilik tingkat bawah rumah oleh pasukan penyelamat.

Katanya, suami mangsa, Abdul Ghani Ngah, 83, yang berada di bilik tingkat atas rumah tersebut berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba namun dikejarkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas.

“Anggota dihantar ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.19 malam dengan jentera pertama tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat kelas A di mana sebuah bilik di tingkat bawah rumah terbakar 80 peratus. Pemeriksaan di bilik tersebut menemukan seorang wanita dan mangsa disahkan telah meninggal dunia,” katanya.

Menurut Sayani, empat mangsa lain berusia 18 hingga 49 yang turut berada di rumah ketika kejadian berlaku tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, usaha pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan air dari tangki jentera sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9.41 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.02 pagi,” katanya.

Tambahnya, operasi pemadaman melibatkan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dibantu BBP Ipoh serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN