Ibu empat anak didenda RM2,000 curi barang di pasar raya

Ibu empat anak didenda RM2,000 curi barang di pasar raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang wanita yang juga ibu kepada empat orang anak didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri beberapa barangan keperluan di sebuah pasar raya di Nilai, April lalu.

Tertuduh, Siti Aishah Zulkifli, 32, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Mahkamah turut menetapkan hukuman tiga bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, pada 25 April lalu, kira-kira pukul 3.53 petang, wanita itu didakwa mencuri barangan keperluan milik sebuah pasar raya di Nilai.

Oleh itu, dia berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan selepas bertindak mencurigakan di kaunter pembayaran serta hanya membayar sebahagian barangan yang diambil seperti bawang, pisang dan roti berjumlah RM18.45 di kaunter itu.

Wanita itu kemudian dilihat keluar dari pasar raya menuju ke kawasan parkir sebelum ditahan pengawal keselamatan yang memintanya menunjukkan resit pembayaran.

Hasil semakan mendapati hanya sebahagian barangan telah dibayar dan tertuduh kemudiannya dibawa ke bilik kawalan keselamatan untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fidha Misjedi, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurulain Anuar memohon agar hukuman minimum dikenakan berikutan tertuduh menanggung empat anak berusia antara empat hingga 12 tahun serta ibu bapa di kampung.

“Mohon jumlah denda rendah diberikan atas tertuduh kerana merupakan seorang suri rumah, tidak bekerja dan tidak menjana sebarang pendapatan.

“Saya dimaklumkan tertuduh perlu menjaga empat orang anak serta emak dan ayah di kampung. Ini kesalahan pertama tertuduh, mohon denda paling minima dikenakan ke atasnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN