Ibadah korban MALBATT 850-12 perkukuh hubungan dengan masyarakat tempatan

Ibadah korban MALBATT 850-12 perkukuh hubungan dengan masyarakat tempatan

ANTARA anggota MALBATT 850-12 yang melaksanakan proses penyembelihan bagi tujuan ibadah korban di Kem Marakah, Selatan Lubnan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibadah korban dilakukan oleh anggota Batalion Pengaman Malaysia (MALBATT) 850-12 bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara unit khas itu dan masyarakat tempatan, selaras dengan semangat Civil Military Cooperation (CIMIC).

MALBATT dalam kenyataan berkata, aktiviti itu bukan sahaja mengeratkan ukhuwah sesama anggota, malah mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama berpasukan anggota MALBATT 850-12.

“Program ibadah korban yang dilaksanakan ini bukan sekadar usaha menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tetapi secara tidak langsung mencerminkan komitmen berterusan MALBATT dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat tempatan selaras dengan semangat misi pengaman UNIFIL.

“Ia menjadi simbol ketaatan, keikhlasan dan semangat berkorban demi ummah serta menzahirkan nilai kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan,” katanya.

Terdahulu, pelaksanaan program ibadah korban itu bertempat di Kem Marakah, Selatan Lubnan, sebagai satu usaha menunaikan tanggungjawab keagamaan sebagai umat Islam serta menghayati semangat pengorbanan yang menjadi teras perayaan Aidiladha.

Tambahnya, keunikan program itu apabila anggota berpeluang melibatkan diri secara langsung dalam proses penyembelihan haiwan korban masing-masing.

“Pengalaman ini memberikan penghayatan yang lebih mendalam terhadap erti pengorbanan serta nilai keikhlasan dalam beribadah.

“Sebanyak 48 ekor kambing telah dikorbankan dalam program ini. Daripada jumlah tersebut, 26 ekor telah disumbangkan kepada pihak Takaful Marakah (NGO) dan wakil penduduk Kafr Shuba untuk diagihkan kepada komuniti setempat yang memerlukan.

“Majlis turut dimeriahkan dengan aktiviti memasak secara bergotong-royong oleh warga pasukan dan daging korban dinikmati bersama dalam jamuan Aidiladha yang berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran dan keharmonian,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN