Hormati dualisme perundangan Malaysia

Hormati dualisme perundangan Malaysia

DR. MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cubaan membuka ruang kepada campur tangan Mahkamah Sivil dalam keputusan dikeluarkan Mahkamah Syariah bercanggah dengan semangat Perlembagaan.

Malah, tindakan itu dilihat boleh menjejaskan kestabilan sistem kehakiman dualisme yang menjadi ciri unik sistem perundangan di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang mengeluarkan notis tunjuk sebab dan memberi kebenaran memulakan prosiding komital terhadapnya atas tuduhan menghina mahkamah.

Katanya, keputusan itu dengan jelas menunjukkan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah telah bertindak dalam bidang kuasanya yang sah seperti diperuntukkan oleh undang-undang.

“Tindakan memfailkan semakan kehakiman terhadap prosiding Mahkamah Syariah adalah satu percubaan untuk menghalang Mahkamah Tinggi Syariah daripada melaksanakan kewajipan kehakimannya dan ini ditolak secara tuntas oleh Mahkamah Persekutuan.

“Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan secara tegas memperuntukkan pengasingan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. 

“Maka keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh dibicarakan semula atau dicabar di Mahkamah Sivil kerana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa tersendiri yang diperuntukkan secara sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Maria Chin gagal mendapatkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung surat tunjuk sebab kerana menghina Mahkamah Syariah.

Pada 27 November 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Maria memulakan semakan kehakiman bagi mencabar notis tunjuk sebab dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Notis itu dikeluarkan selepas Maria mengkritik keputusan mahkamah berkenaan yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia Hanafi, bekas isteri ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin

Dalam kes sivil, mana-mana pihak yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan perlu mendapatkan kebenaran untuk berbuat demikian terlebih dahulu.

Pada prosiding hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Nordin Hassan dan bersidang bersama-sama Hakim Abu Jais Bakar dan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan menolak permohonan Maria selepas mendapati tiada isu baharu yang ditimbulkan bagi membolehkan rayuan didengar.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, rakyat hendaklah menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan pada masa sama beliau juga mengajak semua pihak menghormati Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman yang sah dan berdaulat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN