Honda HRV ditinggalkan tepi jalan berisi dadah RM4.7 juta - Utusan Malaysia

Honda HRV ditinggalkan tepi jalan berisi dadah RM4.7 juta

NOOR Hisam Nordin (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang ditemukan dalam sebuah kereta di Gerik dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Misteri kereta Honda HRV ‘tersadai’ di tepi jalan berhampiran sebuah loji di Taman Pulai Savana, Gerik membawa kepada penemuan dadah jenis methamphetamine dan ketamin bernilai RM4.7 juta, Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, keberadaan kenderaan utiliti sukan (SUV) itu menimbulkan kecurigaan penduduk sebelum melaporkan kepada pihak polis yang membuat pemeriksaan pada pukul 1 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tiada pemandu mahupun penumpang berada dekat kenderaan berkenaan.

“Pemeriksaan kemudian dilakukan di dalam kereta sebelum menjumpai 80 peket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 82.8 kilogram (kg) dan 39 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis ketamin seberat 40.3kg.

“Dadah yang dianggarkan bernilai RM4,667,850 itu dijumpai di bahagian but belakang kereta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan dan Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintenden Muhammad Firdaus Abdullah.

Noor Hisam berkata, semakan terhadap nombor casis kenderaan itu mendapati ia telah dipotong dan nombor enjin juga telah diganggu.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan lanjut dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang jururawat di Serdang, Selangor.

“Kereta itu ditinggalkan dalam keadaan baik dan berkunci. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kenderaan tersebut ditinggalkan di lokasi berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, dadah itu dibawa masuk dari negeri jiran melalui Gerik untuk diedarkan di pasaran tempatan dan negeri bersebelahan. Dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 350,000 penagih,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN