Henti jadi parasit jika tidak boleh membantu

Henti jadi parasit jika tidak boleh membantu

MOHD. ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan pihak tertentu yang cuba mewujudkan persepsi kononnya berlaku krisis dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan sebagai perbuatan ‘parasit’ yang hanya ingin merebut kuasa dengan jalan pintas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, semua ahli sepatutnya mempertahankan kepimpinan parti dan mengukuhkan kekuatan dalaman, bukan menimbulkan perpecahan dalam kalangan kepimpinan.

“Kalau tidak mampu jadi madu yang membantu, usahlah pula menjadi racun. Bersatu tidak akan kuat jika dalamannya sendiri busuk.

“Bersatu akan jatuh jika dikhianati oleh anak dalam rumah sendiri. Insaflah daripada terus menjadi duri dalam daging atau parasit,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Kenyataan Mohd. Ashraf merujuk kepada laporan media mengenai dakwaan wujud cadangan penstrukturan semula Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan memberi lebih kuasa kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, realitinya parti masih berada dalam keadaan yang stabil dan tersusun, justeru sebarang cubaan mewujudkan gelombang perubahan dalaman hanya akan merugikan perjuangan.

“Kita tahu siapa yang menanam ‘pecah dan perintah’ agar kononnya tampak relevan. Mereka ini bukan pejuang sebenar. Mereka hanyalah watak-watak yang mahu naik dengan cara mudah,” katanya.

Mohd. Ashraf turut membandingkan Bersatu dengan parti-parti lain serta menegaskan bahawa parti itu lahir atas asas perjuangan dan bukan pengkhianatan.

“Kita bukan seperti PKR. Kita bukan seperti UMNO yang kini hanyut dalam kebersamaan palsu.

“Kita adalah Bersatu, parti yang dibina atas nama perjuangan,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan semua ahli agar tidak menjadi perosak dari dalam yang boleh menggugat kekuatan parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kepimpinan tertinggi perlu diperkukuh, bukan dilaga-lagakan. Jika sayang kepada parti, tunjukkan dengan tindakan yang menyatukan, bukan menimbulkan syak wasangka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN