LONDON: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengadakan perbincangan bersama ibu bapa dan pelajar tajaannya dalam masa terdekat susulan keputusan agensi itu menghentikan penghantaran pelajar ke AS.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perbincangan itu melibatkan seramai 131 orang pelajar tajaan Mara yang kini berada di kolej-kolej persediaan yang sepatutnya akan ke Amerika Syarikat pada Oktober ini.
“Perbincangan Mara dengan ibu bapa dan pelajar adalah untuk merancang haluan untuk mereka dialihkan ke universiti-universiti negara lain ataupun dalam negara bergantung kepada bidang pengajian mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Mara memberitahu akan menghentikan penghantaran pelajar tajaannya bagi menyambung pelajaran ke universiti-universiti di Amerika Syarikat bermula tahun ini.
Asyraf Wajdi berkata, perkara tersebut mengambil kira situasi politik dan dasar-dasar semasa Amerika Syarikat yang dilihat berubah-ubah yang dibimbangi akan memberikan impak kepada para pelajarnya.
Sementara itu, beliau berkata, keputusan Mara itu tidak melibatkan kepada 266 orang pelajar tajaan Mara yang sedang berada di AS.
“Pemberhentian penghantaran pelajar ke AS adalah melibatkan pelajar baharu bukan yang sudah berada di sana.
“Cuma Mara sedang memantau apa juga dasar Presiden AS, Donald Trumph terhadap pelajar-pelajar yang sedang belajar di AS,” katanya.
Susulan keputusan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
Ahmad Zahid berkata, perbincangan itu perlu dilakukan bagi melihat keperluan sama diambil terutamanya melibatkan pelajar di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan agensi lain di bawah kerajaan Malaysia.
Sebelum ini pentadbiran Trump dilaporkan mengeluarkan arahan untuk menghentikan pemprosesan visa semua pelajar asing serta mempertimbangkan langkah untuk menyaring pemohon baharu.-UTUSAN











