LIPIS: Hasrat lapan sekeluarga dari Klang, Selangor untuk menziarahi ibu saudara yang sakit di Kota Bharu, Kelantan berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kenderaan dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU), dekat Kampung Chegar Perah, di sini, hai ini.
Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira puku 5.30 pagi ialah mangsa Roslawati Mat Daud, 50, isteri kepada pemandu kereta serta Aqif Azfar Azman, 6, anaknya di kerusi penumpang hadapan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kenderaan jenis Proton Persona dinaiki keluarga itu dalam perjalanan dari Klang menuju ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan bagi menziarahi ibu saudara mereka yang uzur.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah lori yang membawa muatan perabot dari Melaka ke Ketereh, Kelantan berhenti di susur jalan kerana pemandunya mahu membuang air kecil.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu MPV berusia 45 tahun itu hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang lori tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ismail, kanak-kanak lelaki berkenaan yang maut dipercayai berada di pangkuan bapanya di tempat duduk penumpang hadapan ketika pelanggaran berlaku.
“Akibat hentaman kuat, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemandu dan lima lagi ahli keluarga yang turut berada dalam kenderaan tersebut pula mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan. – UTUSAN










