KUALA PILAH: Penduduk di Kampung Sungai Dua Besar di sini bimbang dengan kehadiran harimau kumbang berkeliaran berhampiran kawasan ternakan, sejak beberapa minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Dua Besar, Rosmawati Sulaiman, 57, berkata, kehadiran haiwan itu disedari selepas kambing penduduk mati dipercayai menjadi mangsanya.
“Beberapa minggu lepas, ada penduduk memberitahu kambing ternakannya macam dimakan oleh harimau dan ada kesan tapak kaki harimau bersebelahan dengan kandang.
“Selepas membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), mereka mengesahkan ia adalah kesan harimau kumbang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rosmawati berkata, seekor anak harimau kumbang turut dilihat berada berhampiran kandang kambing penduduk.
Katanya, Perhilitan telah memasang perangkap berhampiran kandang dan menasihati penduduk tidak keluar rumah pada waktu senja sebagai langkah berjaga-jaga.
“Dua minggu lalu, seorang kakitangan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) terlanggar haiwan itu ketika melalui jalan berhampiran sekitar pukul 6.40 petang.
“Tidak pasti sama ada haiwan itu cedera atau tidak tapi bimbang ia lebih agresif jika mengalami kecederaan,” katanya. – UTUSAN