Hari ini saya sudah mula jadi pengarah filem - Zahiril Adzim - Utusan Malaysia

Hari ini saya sudah mula jadi pengarah filem – Zahiril Adzim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas 19 tahun bergelar anak seni, pelakon, Zahiril Adzim bangga bergelar pengarah filem menerusi taruhan pertamanya, Martabat Misi Berdarah yang menemui penonton bermula hari ini. 

Zahiril atau Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 41, mengakui telah melakukan persediaan yang cukup untuk menjadi teraju utama termasuklah mendapat nasihat daripada rakan pengarah lain seperti Nik Amir Mustapha dan Razaisyam Rashid. 

“Filem pertama ini saya menggunakan seni bercerita ‘filem di dalam filem’ dengan mengambil inspirasi daripada naskhah Layar Lara. Kali ini saya mahu menceritakan kisah bagaimana orang lakukan penggambaran filem, akan datang mungkin saya akan cuba genre berbeza.

“Sebelum mengarah, saya banyak berjumpa dengan rakan pengarah yang saya kagumi. Mereka pun ada cerita ambil masa tiga tahun untuk cuba pelbagai genre filem sampailah bertemu genre yang betul-betul secocok. Inilah yang saya cuba buat. 

“Saya tahu perjalanan saya masih jauh untuk menjadi seperti mereka. Tapi saya tahu, saya kena mula. Hari ini saya sudah mula (sebagai pengarah filem),” katanya. 

Zahiril ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana dan sesi sidang media filem Martabat Misi Berdarah di Mid Valley Mega Mall, baru-baru ini.

Bercerita lanjut tentang naskhah pertamanya, Zahiril bukan sahaja mengarah tetapi turut terlibat sebagai pelakon utama filem ini. 

Oleh itu Zahiril bersyukur kerana Adrian Teh bersetuju untuk menjadi pengarah bersama yang turut memparodikan empat filem lain seperti  Ada Hantu 1, Ada Hantu 2, Malbatt Misi Bakara dan The Assistant. 

“Saya sebenarnya tak mahu berlakon sambil mengarah sebab saya pernah ambil dua peranan itu ketika buat satu telefilem. Saya terlalu penat sampai tidur dekat set. Hasilnya semua tak dapat nak jalankan penggambaran sebab pengarah tengah tidur.

“Walau tengah berlakon, otak saya sudah fikir adegan apa mahu buat selepas ini. Jadi bila Adrian letak syarat untuk saya berlakon, saya pun minta dia jadi pengarah bersama. Bila dia setuju, barulah saya pun setuju nak berlakon. 

“Di set penggambaran, Adrian banyak bantu saya terutama dalam aspek teknikal. Ini sebuah cabaran baru untuk saya. Sukar tapi insyaAllah saya akan biasa,” katanya.

Martabat Misi Berdarah merupakan filem komedi menceritakan perjalanan sekumpulan pelakon tambahan dalam mengejar impian mereka untuk dikenali. 

Turut sama menjayakan naskhah yang menemui penonton bermula 12 Jun adalah Fad Bocey, Shiqin Kamal, Amerul Affendi, Iedil Dzuhrie, Emma Maembong dan Michael Ang. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN